Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KKDW Sasar RM209 Juta Nilai Jualan Menerusi MK3D 2025

24/07/2025 12:23 AM

PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan nilai transaksi jualan mencecah sehingga RM209 juta menerusi penganjuran Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) 2025 yang akan berlangsung selama lima hari bermula 30 Julai ini.

Program menghimpunkan usahawan luar bandar dari seluruh negara itu merangkumi jualan tunai, pembiayaan usahawan, potensi padanan perniagaan serta tempahan yang berupaya menyuntik lonjakan kepada ekosistem ekonomi desa.

Menurut kenyataan KKDW hari ini, MK3D 2025 akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 30 Julai hingga 3 Ogos, dan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Ogos, disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sepanjang lima hari penganjuran dari 10 pagi hingga 10 malam, program ini juga dijangka menarik kehadiran hingga dua juta pengunjung,” menurut KKDW.

Sebanyak 50,000 keping kupon penggalak jualan bernilai keseluruhan RM250,000 akan diedarkan secara percuma kepada pengunjung sebagai insentif tambahan untuk merancakkan jualan dan sokongan terhadap produk usahawan luar bandar.

Program mega itu turut melibatkan 10 agensi di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA Bhd, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Kumpulan sasar program ini terdiri daripada orang awam serta usahawan luar bandar yang telah menerima bimbingan atau memerlukan bantuan khidmat nasihat bagi meningkatkan produktiviti perniagaan mereka.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan