IPOH, 22 Julai (Bernama) -- Perak menyasarkan kira-kira 10 peratus pekerja di negeri ini menubuhkan kesatuan sekerja dalam tempoh tiga tahun ini sebagai usaha memperkasakan hak dan kebajikan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A Sivanesan berkata kerajaan Perak juga adalah yang pertama akan menyediakan peruntukan khas sebanyak RM5,000 bagi membantu pekerja menubuhkan kesatuan.
“Di Perak, daripada 1.25 juta pekerja, hanya sebilangan kecil menyertai kesatuan malah kadar keahlian di negeri ini lebih rendah berbanding purata kebangsaan iaitu lapan peratus.
“Kesatuan diwujudkan di tempat kerja untuk memastikan keharmonian di tempat kerja… sebab kalau ada kesatuan, pekerja boleh adakan rundingan untuk terma-terma pelarasan gaji dua tahun sekali, kesihatan dan berkaitan cuti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata penubuhan kesatuan sekerja sepatutnya lebih mudah kerana telah berlaku pindaan pada Akta Kesatuan Sekerja 1959 pada 2023, bagaimanapun masih ramai majikan yang takut untuk melaksanakan penubuhan tersebut.
Sivanesan berkata majikan tidak perlu bimbang terhadap mogok, malah perkara itu tidak berasas kerana mogok sukar dilakukan berikutan ia tertakluk kepada prosedur ketat di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 selain tiada mogok besar berlaku dalam 45 tahun ini.
Beliau berkata bagi memudahkan urusan penubuhan kesatuan, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Negeri untuk melibatkan diri mewakili kerajaan Perak untuk membantu pekerja menubuhkan kesatuan.
“Pada masa sama, apabila jawatankuasa sementara ditubuhkan mereka belum dapat pendaftaran daripada Jawatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, mereka perlu wang untuk menguruskan kerja-kerja sebab mereka tak boleh kutip wang, jadi kerajaan Perak akan keluarkan wang.
“Ada peruntukan di bawah Exco Sumber Manusia. Wang itu akan digunakan untuk membantu pekerja menubuhkan kesatuan. Saya harap ini akan menguntungkan sekurang-kurangnya 1.1 juta pekerja yang belum lagi menjadi anggota kesatuan atau tidak ada kesatuan di tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata penubuhan kesatuan itu penting susulan Perak bakal mempunyai kira-kira 30,000 pekerja pada masa akan datang menerusi projek perindustrian di Proton City, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LUMIC), Bagan Datuk, Chemor dan taman industri di Kinta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial