MELAKA, 22 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah beban kerja petugas berikutan perkembangan pesat perkhidmatan perubatan dan penambahan subkepakaran terutamanya di Hospital Melaka.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata antara langkah terbabit ialah memohon pertambahan perjawatan di hospital-hospital di Melaka kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan melaksanakan inisiatif pengambilan pegawai perubatan kontrak secara sistematik.
“Selain itu, penambahan slot lokum pegawai perubatan selepas waktu kerja terutama pada waktu puncak atau hujung minggu di jabatan kecemasan bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan tanpa menjejaskan kualiti penjagaan pesakit,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) yang ingin tahu mengenai usaha mengurangkan beban kerja doktor di Hospital Melaka ekoran terdapat peletakan jawatan dalam kalangan pegawai perubatan pada masa ini.
Ngwe berkata setakat 30 Jun lepas, bilangan pengisian perjawatan terkini bagi pakar perubatan melibatkan Pakar Gred Khas dan Pakar Perubatan adalah sebanyak 208 orang atau 99 peratus berbanding waran perjawatan sebanyak 210 orang.
“Bagi pengisian terkini pegawai perubatan pula adalah 373 orang atau 94 peratus berbanding waran perjawatan sebanyak 396 orang dengan 23 kekosongan belum diisi,” katanya.
Beliau berkata Hospital Melaka mempunyai 20 kepakaran klinikal, 30 kepakaran subklinikal dan tujuh Area of Interest (AOI) selain turut menerima perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran klinikal lawatan membabitkan 16 bidang kepakaran.
Perkhidmatan berkenaan, katanya diterima daripada Hospital Kuala Lumpur, Institut Kanser Negara dan Hospital Sungai Buloh yang melibatkan pakar untuk datang secara berkala memberi rawatan khusus di Melaka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial