JOHOR BAHRU, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan melatih dan menggerakkan 100 sukarelawan sebagai langkah segera bagi membantu meringankan beban petugas kesihatan di hospital-hospital utama di negeri ini dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata inisiatif itu adalah antara langkah jangka pendek hasil pertemuan rasmi antara Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini.
“Langkah ini merupakan pendekatan segera kerajaan negeri sementara menunggu pelaksanaan penyelesaian jangka panjang oleh Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk penambahan kuota latihan dan penempatan petugas baharu ke Johor,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Mesin Echocardiography oleh Ikbal Salam and Associates di Hospital Sultan Ismail hari ini.
Beliau berkata sukarelawan Southern Volunteers itu tidak melaksanakan tugasan perubatan, sebaliknya membantu urusan pentadbiran dan logistik seperti pendaftaran pesakit, penghantaran dokumen dan sokongan aliran pesakit di hospital.
“Kehadiran mereka akan memberi ruang kepada jururawat dan doktor untuk menumpukan perhatian terhadap rawatan dan tugas klinikal,” katanya.
Ling berkata sukarelawan berkenaan akan menjalani kursus latihan selama seminggu bagi membiasakan diri dengan operasi hospital dan pengambilan bagi fasa pertama kini dibuka dengan sasaran seramai 100 orang.
“Penglibatan mereka ini akan dilaksanakan secara berjadual mengikut syif. Kerajaan negeri juga akan menimbangkan pemberian elaun sebagai tanda penghargaan, menjadikan inisiatif ini yang pertama seumpamanya dilaksana secara rasmi di hospital awam Johor,” katanya.
Beliau berkata Johor kini mempunyai lebih 29,000 petugas kesihatan, namun masih berdepan kekurangan sekurang-kurangnya 4,600 pegawai merangkumi doktor pakar, pegawai perubatan, jururawat serta petugas teknikal dan sokongan.
“Johor Selatan menjadi tumpuan utama kerana kawasan ini mencatat jumlah pesakit tertinggi di negeri ini. Kita harap kementerian dapat beri keutamaan kepada zon ini dalam pengagihan petugas baharu,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri dan KKM juga bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas bersama yang akan bermesyuarat secara bulanan bagi menyelaras pelan penambahan tenaga kerja dan cadangan peningkatan kapasiti latihan di peringkat nasional.
“Inisiatif sukarelawan ini adalah intervensi sementara bagi menampung keperluan mendesak sistem kesihatan kita. Ia bukan penyelesaian kekal, tetapi amat penting untuk meringankan tekanan di lapangan, sementara kita menunggu penyusunan semula tenaga kerja oleh pihak kementerian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial