KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Penyampai sukan Astro Arena, Akbar Sahari, 50, menerima Faedah Pencen Penakat untuk seumur hidup daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) susulan pemergian isterinya, Noorsuzilawati Mohd Noor, 44, akibat kanser kolon pada 6 Julai lepas.
Menerusi skim perlindungan sosial itu, tiga anak mereka yang berusia antara 13 dan 19 tahun turut layak menerima faedah tersebut hingga berumur 21 tahun atau hingga melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama.
Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Sri Subahan Kamal berkata pembayaran bulanan sebanyak RM1,441.67 itu merupakan kesinambungan daripada Faedah Pencen Ilat yang sebelum ini diterima Allahyarham sejak 5 Julai 2024 hasil caruman sepanjang perkhidmatannya sejak 1999.
“Semakan mendapati waris Allahyarham Noorsuzilawati iaitu duda dan tiga anaknya berumur antara 13 dan 19 tahun layak menerima Faedah Pencen Penakat kerana mewarisi Faedah Pencen Ilat menerusi Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969.
“Faedah ini sudah pasti tidak dapat mengganti isteri, ibu yang sudah pergi. Walaupun tiada lagi di sisi, warisnya tetap dilindungi, terpelihara masa depan mereka hasil caruman selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain Pencen Penakat, PERKESO turut menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 kepada waris, yang telah disalurkan dua hari selepas pemergian Allahyarham.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial