TANJONG MALIM, 18 Julai (Bernama) -- Reaktor hidrogen pepejal pertama di Malaysia, HyPEReactor dilancarkan di Perkampungan Orang Asli (POS) Tibang di sini hari ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pelancaran itu merupakan langkah signifikan dalam membekalkan tenaga elektrik bersih dan selamat kepada komuniti luar bandar terpinggir.
"Teknologi tersebut bukan sahaja stabil dan selamat tetapi juga mesra alam tanpa pencemaran bunyi atau bau seperti penggunaan genset biasa," katanya dalam ucapan perasmian di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr. Mohd Nor Azman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad (NMB) Dr. Rezal Khairi Ahmad.
Chang berkata pelancaran HyPEReactor adalah sebahagian inisiatif MOSTI yang mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan pembangunan teknologi hijau yang canggih dan lestari serta dapat memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat termasuk di kawasan terpencil.
"Kita mahu memastikan setiap rumah di Pos Tibang dan perkampungan Orang Asli lain di seluruh negara mendapat hak yang sama seperti rakyat Malaysia yang lain: bekalan asas yang mencukupi, peluang pendidikan, penjagaan kesihatan dan kehidupan yang baik," katanya.
Dalam pada itu, Chang berkata sistem HyPEReactor boleh digunakan tanpa kebergantungan kepada diesel, boleh dialihkan ke lokasi lain dan dibangunkan menggunakan teknologi tempatan.
Katanya ia juga membuka potensi kepada model perniagaan baharu untuk elektrifikasi luar bandar dan dalam jangka panjang, berupaya mencetuskan minat dalam bidang STEM serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sains, teknologi dan inovasi khususnya kepada anak muda di Pos Tibang.
Beliau berkata teknologi itu juga seiring dengan dasar tenaga bersih negara serta menyokong Dasar Tenaga Negara dan usaha peralihan kepada tenaga boleh baharu yang lebih mampan seperti hidrogen.
Ketika ditemui media Chang berkata reaktor tersebut mampu menghasilkan tenaga elektrik sebanyak lima kilowatt yang boleh menampung sumber tenaga 10 hingga 12 rumah.
Buat masa ini katanya reaktor itu digunakan untuk menjana elektrik di bangunan gereja POS Tibang bagi kegunaan kira-kira 260 penduduk.
Sementara itu, Rezal Khairi berkata bahan utama sistem tersebut adalah sejenis garam iaitu natrium borohidrida yang merupakan satu daripada sumber hidrogen yang boleh dihasilkan dalam tekanan rendah.
"Ia juga boleh dikitar semula dan inovasi teknologi ini membolehkan penyelesaian tenaga elektrik mudah alih yang lebih selamat, cekap dari segi kos dan sesuai untuk kawasan-kawasan di luar grid atau yang mempunyai sambungan grid yang terhad," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial