Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPKM Salur RM1 Juta Mulakan Projek Tanaman Nanas MD2 Di Sabah

18/07/2025 02:21 PM

SOOK (Sabah), 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyalurkan RM1 juta melalui Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB) bagi projek tanaman nanas MD2 di sini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata Fasa 1 projek itu melibatkan enam hektar dengan tanaman 250,000 sulur nanas, yang memberi manfaat kepada 695 peserta di kawasan berkenaan.

“Peserta akan mula menikmati tuaian pertama 12 hingga 15 bulan dari sekarang, sekali gus menyokong usaha untuk membangunkan ekonomi masyarakat di kawasan luar bandar, khususnya di pedalaman Sabah yang rata-ratanya adalah berasaskan kepada sumber pertanianan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arthur berkata pelaksanaan projek itu bukan sahaja dapat menyumbang kepada peningkatan pengeluaran nanas negara, bahkan membuka peluang pekerjaan, menjana pendapatan pekebun tempatan serta menggalakkan pembangunan ekonomi luar bandar secara menyeluruh.

Beliau berkata projek asal SLDB di kawasan itu adalah tanaman kelapa sawit, bagaimanapun oleh kerana keadaan tanah yang tidak sesuai, SLDB mengambil inisiatif untuk mengoptimumkan kawasan itu dengan tanaman nanas.

Arthur berkata Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) turut dilibatkan bagi melihat potensi kerjasama, khususnya dalam mewujudkan industri nanas di Sook dan KPKM sentiasa memberikan tumpuan kepada sektor pertanian bernilai tinggi seperti tanaman nanas MD2.

Sementara itu, beliau berkata di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sook juga dijalankan projek tanaman nanas MD2 yang dilaksanakan secara berkelompok di Kampung Sakikilo, melibatkan 42 keluarga.

Beliau berkata LPNM akan berkongsi kepakaran dalam penanaman buah nanas di samping memantau projek tersebut bersama-sama PPK Sook sebagai usaha untuk meningkatkan pendapatan komuniti yang terlibat.

“Saya sedang merancang supaya LPNM dan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia dapat mewujudkan industri nanas di Sook sebagai satu industri dan sumber ekonomi baharu bagi daerah pedalaman Sabah,” katanya menambah 5,000 sulur nanas, lebih 300kg baja dan sebuah mesin mini tiller telah diserahkan bagi mulakan projek komuniti tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan