BANGI, 17 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan projek rintis kursus pemulihan untuk pemegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang digantung pada November ini.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata kursus pemulihan itu dilaksanakan bertujuan memberi peluang kepada pemandu terlibat untuk mengikuti kursus berkenaan sebelum kelayakan lesen mereka dipertimbangkan semula.
“Mereka wajib untuk menghadiri kursus pemulihan sebelum lesen itu diberikan semula, perkara ini akan dilaksanakan dan ia dalam peringkat perincian.
“Kita sedang meneliti beberapa perkara lagi bersama Kementerian Pengangkutan untuk kita laksanakan program ini, mungkin akan dimulakan secara rintis terlebih dahulu mulai November tahun ini,” katanya,
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Lori dan Pengusaha Bas Ekspres dan Pelancongan berkaitan inisiatif keselamatan jalan raya di sini hari ini.
Aedy Fadly berkata beberapa perkara mengenai kursus pemulihan seperti membabitkan modul atau latihan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata objektif utama kursus pemulihan itu adalah untuk meningkatkan keselamatan jalan raya selain memperkukuh tahap profesionalisme dalam kalangan pemandu kenderaan perkhidmatan awam dan barangan.
“Pemandu kenderaan berat sekarang, apabila mendapat saja lesen PSV dan GDL, mereka terus boleh memandu dan mereka tidak ada latihan lanjutan.
“Kita melihat pentingnya latihan lanjutan dan juga kursus pemulihan ini untuk mengingatkan semula pemandu dengan peraturan kerana mungkin ada yang lupa,” katanya.
Beliau berkata buat masa ini, pelaksanaan kursus pemulihan dilaksana kepada pemegang lesen PSV dan GDL sebelum dipanjangkan kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM).
“Kita mungkin akan perkenalkan kursus penyegaran lanjutan pemanduan untuk pemandu-pemandu kenderaan berat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial