TAWAU, 17 Julai (Bernama) -- Kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan berskala besar dan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) disarankan untuk menghasilkan komponen IBS secara in situ, iaitu di tapak atau bersebelahan dengan lokasi projek.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pendekatan tersebut dapat menjimatkan kos dan masa selain mengurangkan risiko kerosakan komponen semasa penghantaran.
“Saya bersetuju dengan cadangan kontraktor yang mengendalikan projek pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) tambahan pelbagai kelas di Kem Kabota di sini, supaya diwujudkan tapak sementara IBS berhampiran kawasan projek.
“Ini lebih ekonomik kerana jika acuan IBS dibuat in situ, ia dapat menjimatkan banyak kos logistik. Jika tidak, bahan IBS terpaksa dibawa menggunakan treler dari kilang SEDCO di Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek pembinaan RKAT tambahan pelbagai kelas di Kem Kabota, di sini hari ini.
Ahmad berkata penghantaran komponen IBS dari Kota Kinabalu ke Tawau mengambil masa kira-kira 12 jam, dan sepanjang tempoh itu pelbagai risiko boleh berlaku termasuk kemungkinan tiang IBS patah atau rosak.
Mengenai status projek, beliau menegaskan bahawa pembinaan RKAT bernilai RM97 juta itu perlu disiapkan mengikut jadual, iaitu pada 31 Okt tahun depan.
“Tiada lanjutan masa (EOT) kali ketiga. Sebelum ini sudah diberikan dua kali lanjutan. Projek ini sangat penting dan amat mendesak. Apabila siap kelak, ia akan memberi manfaat besar kepada anggota tentera dan keluarga, selain membantu mengurangkan beban sewaan kediaman di luar,” katanya.
Projek tersebut melibatkan pembinaan sembilan blok pangsapuri kelas G, serta kediaman kelas C1, E dan F, selain rumah banglo, rumah berkembar, gelanggang serbaguna dan taman permainan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial