Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Mohd Sabirin Dilantik Setiausaha Baharu MAIS

16/07/2025 01:56 PM

SHAH ALAM, 16 Julai (Bernama) -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini, dilantik sebagai Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

MAIS dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Mohd Sabirin, 55, adalah bagi menggantikan Dr Ahmad Shahir Makhtar yang tempoh perkhidmatannya tamat semalam.

Berkelulusan Sarjana Muda Perakaunan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Sabirin jugà pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat korporat sebelum menyertai LZS dan MAIS.

Sepanjang perkhidmatannya di LZS, Mohd Sabirin memegang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Divisyen Kutipan, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf dengan jawatan terakhir adalah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Mohd Sabirin juga merupakan Perancang Kewangan (RFP Syariah) berdaftar di bawah Malaysian Financial Planning Council (MFPC), Ahli Persatuan Percukaian Malaysia (MATA), serta mempunyai tauliah mengajar Negeri Selangor di bawah MAIS.

MAIS yakin pelantikan Mohd Sabirin akan meneruskan kecemerlangan agensi itu serta memperkukuhkan lagi agenda memperkasa hal ehwal Islam di Selangor.

Dalam pada itu, MAIS turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Shahir atas sumbangan, kesetiaan dan khidmat bakti beliau dalam menjalankan tugas yang diamanahkan sepanjang pelantikan sebagai Setiausaha MAIS bermula 16 Julai 2019 sehingga semalam.

Sepanjang tempoh tersebut, Dr Ahmad Shahir telah menerajui MAIS dengan penuh komitmen dan dedikasi, termasuk melaksanakan Pelan Strategik MAIS 2020–2024 yang meliputi semua jabatan hal ehwal Islam Selangor, agensi serta anak syarikat di bawah MAIS.

Antara pencapaian beliau termasuk memacu inisiatif digitalisasi perkhidmatan menerusi pembangunan Sistem e-Tauliah, Wasiat & Hibah (e-SISWA) serta e-Faraid.

“Sumbangan khidmat Ahmad Shahir turut mengangkat nama MAIS ke peringkat antarabangsa sehingga MAIS menerima anugerah  emas di International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) di Colombo Sri Lanka, selain pelbagai anugerah lain yang diraih oleh agensi dan anak syarikat MAIS,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan