DUNGUN, 15 Julai (Bernama) -- Dua set pertama tren pelbagai gerabak (EMU) dan dua unit lokomotif elektrik (E-Loco) untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka tiba hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata ia bagi tujuan ujian pentauliahan kereta api penumpang dan kargo yang akan dilaksanakan pada Jun 2026.
Beliau berkata untuk fasa seterusnya, sembilan lagi set EMU dan 18 lokomotif akan diterima secara berperingkat dalam tempoh antara April hingga Mei tahun depan.
"Secara keseluruhan kita ada 11 EMU untuk pengangkutan penumpang dan 20 lokomotif bagi perkhidmatan kargo," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Abdul Razak Sabtu dan Pengarah PSMZA Zamra Derahman.
Dalam pada itu, Darwis berkata MRL akan menghantar sebanyak 109 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk menjalani Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) ke Liuzhou, China secara berperingkat pada Ogos hingga Oktober tahun ini.
Semua pelatih dijamin mendapat peluang pekerjaan di ECRL selepas tamat tempoh latihan dengan tawaran gaji permulaan sebanyak RM3,000.
"Kita telah menghantar sebanyak 101 pelajar dari IPT seperti politeknik dan MARA untuk program PLKI-ECRL pada Mei lepas.
"PSMZA juga sangat bertuah kerana lebih kurang 60 pelajarnya terpilih mengikuti program berkenaan. Sinergi antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan industri adalah asas penting untuk membentuk tenaga kerja masa hadapan yang berkemahiran tinggi, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran global," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial