Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Jambatan Baharu Marang Dijangka Siap Jan 2027 - Nanta

14/07/2025 08:41 PM

MARANG, 14 Julai (Bernama) -- Projek jambatan baharu Marang di laluan FT003 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini dijangka siap Januari 2027.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu bermula pada 9 Dis 2021 dan mencapai kemajuan fizikal 54.7 peratus setakat akhir bulan lepas.

“Projek ini telah dua kali melalui lanjutan masa (EOT), difahamkan kerana ada isu pengambilan tanah dan ia telah diselesaikan. Kontraktor dan pegawai telah memberi jaminan bahawa tidak akan ada lagi EOT,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan pembinaan jambatan itu di sini hari ini. 

Nanta berkata projek jambatan baharu dengan kos kontrak RM338 juta itu melibatkan jajaran sepanjang 2.5 kilometer (km) merangkumi pembinaan jambatan merentasi Sungai Marang sepanjang 220 meter dan jejambat merentasi bandar Marang sepanjang 680 meter serta menaik taraf jalan sedia ada sejauh 1.5 km.

Beliau berkata jambatan yang mempunyai empat lorong dua hala itu dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan di jambatan sedia ada terutama pada musim perayaan.

“Projek jambatan baharu ini sangat penting untuk menggantikan jambatan lama yang dibina pada 1950-an. Jambatan lama itu bukan sahaja sempit tetapi rendah dan menyukarkan laluan bot nelayan,” katanya.

Beliau berkata apabila siap kelak, jambatan berkenaan akan memberi manfaat besar kepada rakyat terutama penduduk setempat yang akan dapat menikmati jalan yang lebih selesa serta menyuraikan masalah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak dan perayaan, selain menjimatkan masa.

Nanta berkata pembinaan jambatan itu juga direka bentuk bagi membolehkan bot nelayan Zon C menyusuri ke hulu dan tidak lagi tersekat oleh ketinggian jambatan sedia ada.

“Dengan pembinaan jambatan baharu ini pastinya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi setempat khususnya dalam sektor perikanan dan logistik maritim bagi daerah Marang,” katanya. 

Untuk rekod, projek jambatan baru itu antara yang disenaraikan dalam program penggantian jambatan dan menjadi keutamaan untuk dilaksanakan seperti yang dimohon Kerajaan Terengganu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) susulan pertambahan trafik.

 -- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan