Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Prof Dr Mas Fawzi Dilantik Naib Canselor UTHM Kelima

14/07/2025 04:51 PM

JOHOR BAHRU, 14 Julai (Bernama) -- Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Dr Mas Fawzi Mohd Ali dilantik sebagai Naib Canselor Kelima universitI itu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Mas Fawzi, 51, bagi menggantikan Datuk Prof Dr Ruzairi Abdul Rahim yang tamat tempoh lantikan pada 8 Mei lepas. 

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Mas Fawzi adalah berdasarkan kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang kejuruteraan serta tadbir urus universiti.

“Kementerian yakin gabungan pengalaman pentadbiran dan lapangan dimiliki akan membantu beliau menerajui UTHM sebagai pusat ilmu yang dihormati, inovatif dan relevan dengan keperluan semasa,” menurut kenyataan itu.

Mas Fawzi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sistem Elektromekanikal dari University of Manchester Institute of Science and Technology, United Kingdom pada 1997 dan Sarjana Kejuruteraan Mekanikal (Penyelidikan) dari Universiti Teknologi Malaysia pada 2007.

Beliau turut memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Alam Sekitar, Hidupan dan Bumi dari University of Tokushima, Jepun pada 2009.

Sepanjang kerjaya akademik beliau, Mas Fawzi pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Dekan di Pusat Pengajian Siswazah dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Pengarah Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko serta Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) UTHM.

“Beliau juga pernah berkhidmat di sektor industri sebagai jurutera kalibrasi di Samsung Electronics Display Sdn Bhd dan jurutera industri di Sharp-Roxy Electronics Sdn Bhd sebelum menyertai perkhidmatan awam pada 2004,” menurut kenyataan itu.

KPT turut merakamkan penghargaan kepada Ruzairi atas jasa dan kepimpinan beliau sepanjang menerajui UTHM sejak 9 Mei 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan