PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Cabaran penghijrahan bakat dalam sektor penjagaan kesihatan negara bukanlah satu isu yang mampu ditangani secara bersendirian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana ia memerlukan kerjasama rentas agensi serta komitmen bersama untuk merangka penyelesaian jangka panjang, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata perkara ini turut dibuktikan menerusi satu kajian bebas oleh Strategic Engagement Group (SEG) bertajuk "Masa Depan Petugas Kesihatan di Malaysia" yang mencadangkan penubuhan Lembaga Tadbir Urus Sumber Manusia dalam Penjagaan Kesihatan (HRH) antara kementerian, selaras dengan hakikat bahawa kemampanan tenaga kerja kesihatan memerlukan pendekatan keseluruhan negara.
“Perlu ditekankan lagi bahawa cabaran penghijrahan bakat bukan satu beban yang boleh dipikul oleh KKM semata-mata.
"Penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama dan komitmen rentas agensi, termasuk daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dzulkefly berkata KKM kekal komited sepenuhnya untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang kukuh dan berdaya tahan menerusi usaha berterusan dalam reformasi pembiayaan kesihatan serta pemodenan penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan, inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga akan mengangkat isu mobiliti tenaga kerja penjagaan kesihatan dan akauntabiliti serantau menerusi libat urus yang lebih mendalam bersama negara-negara jiran,” katanya.
Dzulkefly berkata demikian sebagai maklum balas terhadap dakwaan bahawa hospital di Singapura sedang giat menarik petugas kesihatan awam Malaysia, khususnya doktor dengan tawaran gaji lumayan.
Terdahulu hari ini, ketika ditanya mengenai isu yang sama, beliau berkata KKM sedang melaksanakan pelbagai langkah untuk menggalakkan tenaga kerja kesihatan kekal berkhidmat walaupun tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menghalang mereka daripada menerima tawaran kerja di luar negara.
Beliau berkata antara langkah yang sedang dilaksanakan termasuk mempercepatkan pelantikan tetap dalam kalangan doktor kontrak serta memberi penekanan terhadap penyediaan persekitaran kerja yang lebih kondusif, selamat dan adil untuk warga kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial