KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Ahli Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar menyifatkan pelantikannya sebagai Ahli Friends of Ministry (FOM) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai satu amanah yang besar dalam memperkukuh pendidikan negara, khususnya dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan KPM hari ini, Sivakumar menzahirkan penghargaan atas pelantikan itu serta menyatakan kesediaannya untuk menyumbang pandangan dan idea dalam memperkukuh dasar pendidikan negara.
“Saya amat berterima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek atas kepercayaan ini. Pendidikan adalah asas kepada masa depan yang lebih baik.
“Saya komited untuk memberi sumbangan yang bermakna dalam memastikan sistem kita terus relevan dan inklusif,” katanya.
Sebagai seorang wakil rakyat yang sentiasa mengutamakan kebajikan masyarakat, Sivakumar percaya kolaborasi antara pemegang taruh dan pihak kementerian amat penting untuk membawa perubahan sebenar.
Beliau berkata melalui platform FOM, individu dari pelbagai latar belakang dapat menyumbang idea dan tindakan ke arah pendidikan yang lebih baik.
“Saya percaya kita semua ada tanggungjawab terhadap generasi akan datang. Saya akan laksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin demi anak-anak kita dan masa depan negara,” katanya.
Dalam usaha memperjuangkan agenda pendidikan di peringkat akar umbi, Sivakumar turut berkongsi gambar penyerahan cek bantuan pendidikan kepada pelajar di Parlimen Batu Gajah yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Sumbangan ini mungkin kecil dari segi jumlah, tetapi cukup besar maknanya. Ia diharap dapat meringankan beban pelajar dan keluarga serta memberi dorongan moral untuk mereka terus berjaya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial