Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Balai Seni Negara Angkat Karya Fotografi Tapa Otai

11/07/2025 10:41 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Sebagai usaha memperluas dokumentasi seni visual tanah air, Balai Seni Negara buat julung kalinya menerbitkan sebuah buku fotografi konsert berjudul Stage 0.1, hasil karya jurufoto veteran Mustaffa Ahmad Hidzir, atau lebih dikenali sebagai Tapa Otai.

Buku setebal 240 muka surat itu menghimpunkan kira- kira 300 gambar konsert rock tempatan termasuk wajah-wajah pemuzik di belakang tabir yang jarang menjadi tumpuan lensa kamera.

Kurator Cawangan Penerbitan Balai Seni Negara Mohd Fairus Ismail berkata penerbitan buku tersebut adalah sebahagian daripada pendekatan baharu institusi itu dalam pendokumentasian muzik dan budaya tanah air.

“Kita mulakan inisiatif ini apabila pihak kami merancang satu pameran bertemakan sosiobudaya dan muzik dari era 1979 hingga 1989. Dalam proses kajian, kurator kami menemui hasil fotografi Tapa Otai yang banyak merakam detik penting dalam dunia muzik rock tempatan.

“Apabila beliau menyuarakan hasrat untuk menerbitkan buku berdasarkan koleksi gambarnya, kami bersetuju untuk membantu menerbitkannya melalui saluran kerjasama penerbitan yang turut melibatkan percetakan dan edaran terhad di galeri,” katanya kepada Bernama di Balai Seni Negara, di sini hari ini.

Mohd Fairus berkata Stage 0.1 dianggap sebagai usaha penting dalam mendokumentasi warisan muzik rock tanah air dari sudut pandang fotografi, memandangkan kebanyakan karya Tapa Otai sebelum ini hanya disimpan secara peribadi tanpa platform penerbitan formal.

Katanya buku itu bukan sekadar menampilkan gambar persembahan, sebaliknya menjadi catatan visual yang mengangkat peranan pemuzik di belakang tabir yang menjadi nadi utama kepada sesebuah persembahan.

Sementara itu, Tapa Otai, 70, berkata idea menghasilkan buku tersebut tercetus selepas menerima saranan daripada pengarah filem, Dr U-Wei Saari.

“U-Wei tanya saya tentang semua gambar konsert yang saya ambil. Saya jawab, simpan saja. Beberapa hari kemudian kami bertemu, dan dia cadangkan supaya saya terbitkan buku,” katanya.

Beliau berkata fokus utama Stage 0.1 adalah kepada pemuzik yang jarang diberi perhatian, namun turut dimuatkan beberapa gambar artis ternama sebagai nilai tambah.

“Buku ini saya dedikasikan khas untuk pemuzik yang menjadi tulang belakang industri, mereka yang menyokong dari belakang. Saya tak fokus sangat kepada penyanyi, tapi saya masukkan juga gambar artis-artis besar seperti Datuk M. Nasir, Datuk Ramli Sarip, Wings dan Search sebagai daya penarik,” katanya.

Selain boleh didapati di Galeri Balai Seni Negara, Stage 0.1 turut dijual di platform e-dagang Shopee pada harga RM180.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan