Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Terus Komited Terhadap Kesalinghubungan Tenaga Serantau, Sasar Grid Tenaga ASEAN Menjelang 2045

11/07/2025 09:59 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Menteri-menteri luar ASEAN telah mengesahkan komitmen kolektif mereka untuk meningkatkan kesalinghubungan tenaga serantau termasuk mempercepatkan pembangunan Grid Tenaga ASEAN (APG) dan inisiatif tenaga strategik yang lain.

Dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang dikeluarkan pada Jumaat, para menteri menekankan kepentingan untuk memajukan masa depan tenaga serantau rendah karbon saling terhubung, selamat dan berdaya tahan.

“Kami mengesahkan komitmen kami untuk meningkatkan kesalinghubungan tenaga termasuk mempercepatkan penubuhan APG serta melalui Saluran Paip Gas Trans-ASEAN, Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS),” katanya.

Para menteri menyambut baik keputusan oleh menteri-menteri ASEAN mengenau Mesyuarat Tenaga ASEAN untuk merealisasikan APG menjelang 2045 dan menanti-nantikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Dipertingkat mengenai APG dan pengendorsan Terma Rujukan (TOR) Rangka Kerja Pembangunan Kabel Tenaga Bawah Laut menjelang tahun ini.

Mesyuarat itu juga menyatakan kemajuan ketara dicapai melalui Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) dan mengiktiraf perbincangan berterusan berkaitan Projek Integrasi Tenaga Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-PIP).

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung dari 8 Julai lepas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” berakhir pada Jumaat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan