Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 11 Julai (Bernama) -- Singapura akan melaksanakan dua inisiatif baharu pada 2026 bagi menyokong Pihak Berkuasa Palestin (PA), termasuk Program Pemimpin Muda untuk berkongsi kepakaran republik itu dalam tadbir urus dan pentadbiran awam dengan pemimpin muda Palestin.
Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan turut mengumumkan bahawa satu lagi inisiatif ialah program latihan bersama Jepun yang bertujuan memperkukuh kemahiran kepolisan komuniti Pasukan Polis Awam Palestin.
“Inisiatif ini adalah kesinambungan sokongan lama Singapura terhadap usaha pembangunan kapasiti PA dan pembangunan institusinya, ketika rakyat Palestin bersedia ke arah penubuhan negara mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Balakrishnan, yang berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, mengumumkan inisiatif itu pada Mesyuarat Persidangan Kerjasama antara Negara-negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD IV) pada Jumaat.
Sementara itu, beliau berkata turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa PA Dr Estephan Salameh dan mengadakan perbincangan mengenai perkembangan di Timur Tengah.
“Saya telah menjemput beliau untuk melawat Singapura,” katanya.
Terdahulu, Singapura telah menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan PA, khususnya melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat, dalam menyokong keupayaan pentadbiran dan usaha pemulihan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial