Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

AS Sangkal Tarif Baharu Boleh Cetus Hubungan Renggang Dengan Negara Anggota ASEAN

11/07/2025 09:49 PM

Oleh Samantha Tan

KUALA LUMPUR, July 11 (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) menyangkal kebimbangan bahawa tarif yang baru diumumkan negara itu boleh merenggangkan hubungannya dengan rakan anggota ASEAN.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio menegaskan langkah tersebut perlu diambil untuk menangani ketidakseimbangan perdagangan yang telah lama wujud.

Beliau berkata tarif yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos itu merupakan sebahagian daripada strategi negara tersebut untuk menangani defisit perdagangan tidak setara yang besar sejak dua hingga tiga dekad lalu dengan negara-negara di seluruh dunia termasuk blok Kesatuan Eropah (EU), Kanada, Mexico dan Asia.

"Tidak, saya tidak bimbang tentang itu. Ia tidak akan berlaku kerana tarif ini dikenakan di seluruh dunia. Ia tidak (khusus) ditujukan kepada satu-satu negara atau wilayah,” kata Rubio kepada pemberita selepas ditanya sama dasar itu akan menjejaskan kedudukan AS di Asia Tenggara dan juga merenggangkan hubungan dengan negara anggota ASEAN. 

Beliau ditemui di luar Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang memasuki hari terakhir, di sini, hari ini.

Rubio berkata selama 20 atau 30 tahun, AS telah membina defisit perdagangan yang besar dengan pelbagai negara di seluruh dunia dan itulah yang sedang ditangani oleh Presiden Donald Trump.

Beliau juga mengulangi bahawa tarif itu akan bermula seperti yang dijadualkan tetapi tidak menolak kemungkinan penyusunan baharu dengan negara individu yang boleh melaraskan tarif secara positif pada masa depan.  

"Jelas sekali, tarif yang beliau (Trump) umumkan akan berkuat kuasa pada 1 Ogos kerana pasaran memerlukan kepastian. Tetapi masih ada kemungkinan sebelum 1 Ogos atau selepas 1 Ogos, kami akan mencapai persetujuan dengan negara individu yang (seterusnya) mengubah angka tersebut secara positif," katanya. 

"Secara keseluruhannya, (tarif) ini tidak ditujukan kepada mana-mana negara. Ia dikenakan kepada hampir setiap negara di dunia kerana defisit perdagangan antara AS dengan terlalu banyak negara sudah tidak boleh diteruskan pada kadar yang sama. Kami terpaksa menangani keadaan ini," katanya.

Pada Isnin, Washington mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas mana-mana dan semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu, berasingan daripada semua tarif sektor, berkuat kuasa 1 Ogos depan.  Brunei juga dikenakan tarif 25 peratus.

Negara anggota ASEAN lain seperti Indonesia dikenakan 32 peratus; Filipina (20 peratus); Thailand dan Kemboja (36 peratus) manakala Laos dan Myanmar masing-masing dikenakan 40 peratus. 

Vietnam dikenakan 20 peratus manakala Singapura berdepan tarif asas 10 peratus.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan