KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- ASEAN mengulangi komitmennya untuk menerima Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 pada Sidang Kemuncak ke-47 blok serantau itu yang bakal berlangsung pada Oktober 2025, selaras dengan keputusan yang dibuat pada sidang kemuncak sebelum itu.
Dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang dikeluarkan pada Jumaat, para menteri menyatakan komitmen untuk menyokong Timor-Leste dalam mempercepat penyertaannya ke dalam perjanjian-perjanjian ekonomi utama ASEAN bagi memudahkan integrasi sepenuhnya ke blok serantau itu.
“Kami menantikan Timor-Leste melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya sebagai bakal negara anggota serta komitmennya untuk menegakkan prinsip-prinsip asas ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, para menteri memuji penglibatan aktif Timor-Leste sebagai Pemerhati dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN dan komitmennya untuk menjadi anggota penuh serta memenuhi semua kriteria di bawah Pelan Hala Tuju bagi Keanggotaan Penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN.
“Kami menggalakkan Timor-Leste untuk terus mempercepat pambangunan keupayaan institusi dan memperkukuh penglibatan dengan semua Badan Sektoral ASEAN bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai negara anggota,” katanya.
Blok serantau itu juga menggalakkan usaha berterusan Timor-Leste untuk menyelaras dasar domestik, proses dan rangka kerjanya dengan Perjanjian serta kerangka ASEAN bagi memastikan proses integrasi berjalan lancar serta berkesan.
“Kami menantikan sumbangan bermakna Timor-Leste dalam pelaksanaan ASEAN 2045: Masa Depan Bersama dan mengambil maklum bahawa usaha Timor-Leste ke arah integrasi ASEAN akan membantu memperkukuh daya tahan ASEAN, keterangkuman dan kemampanan,” menurut kenyataan itu.
Blok serantau itu turut mengalu-alukan pengoperasian Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN yang akan berperanan sebagai mekanisme penting bagi memudah cara integrasinya ke dalam struktur dan proses ASEAN serta menyokong dan memantau pelaksanaan penuh Pelan Hala Tuju oleh negara itu.
“Kami menggalakkan penglibatan dan sokongan berterusan daripada negara anggota ASEAN bagi memudah cara peralihan Timor-Leste ke arah keanggotaan ASEAN serta usaha berterusannya bagi memenuhi Pelan Hala Tuju selepas diterima sebagai anggota blok serantau itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial