Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Alu-Alukan Minat Negara Bukan Serantau Sertai TAC

11/07/2025 09:17 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Menteri Luar ASEAN mengalu-alukan minat yang semakin meningkat dalam kalangan negara bukan serantau untuk menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), yang digubal oleh ASEAN.

Dengan mengalu-alukan penyertaan Algeria dan Uruguay sebagai penandatangan baharu TAC, Menteri Luar ASEAN menyatakan bahawa penyertaan itu, perlu berdasarkan rasa hormat dan pematuhan terhadap tujuan dan prinsip perjanjian tesebut.

Mereka turut mengulangi kepentingan dan keberkesanan perjanjian tersebut sebagai kod tatakelakuan asas bagi hubungan antara negara di rantau ini, serta sebagai tunjang kepada keamanan dan kestabilan serantau.

“Kami kekal komited mempromosikan dan menegakkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam TAC, dan menekankan tanggungjawab semua High Contracting Parties (HCPs) untuk memenuhi obligasi mereka di bawah Perjanjian ini,” kata para menteri dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Mesyuarat AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang bermula 8 Julai di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan,” berakhir hari ini.

Algeria dan Uruguay menandatangani Instrumen Penyertaan TAC pada Rabu.

Penyertaan kedua-dua negara itu menjadikan jumlah pihak dalam perjanjian ASEAN itu meningkat kepada 57, berbanding 55 sebelum ini.

Menteri-Menteri Luar ASEAN menyatakan bahawa mereka menantikan persidangan kali kedua HCPs TAC yang akan diadakan pada Ogos 2025 di Ibu Pejabat/Seketeriat ASEAN, sebagai persiapan memperingati ulang tahun ke-50 penandatanganan TAC pada 2026.

Mereka juga menantikan penggubalan resolusi yang disokong ASEAN dalam sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) untuk memperingati ulang tahun ke-50 TAC.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan