Oleh Noor Bakhtiar Ahmad
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Menteri-menteri Luar ASEAN menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap situasi kemanusiaan yang semakin parah di Gaza dan menggesa semua pihak agar menyelesaikan perbezaan melalui diplomasi dan perbincangan demi mengekalkan keamanan serta kestabilan.
Berdasarkan Kenyataan Bersama yang dikeluarkan pada Jumaat selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, Menteri-Menteri Luar ASEAN mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap orang dan kemudahan awam, yang telah mengakibatkan angka kematian membimbangkan, khususnya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.
“Sekatan berterusan terhadap akses bantuan kemanusiaan, bekalan bantuan dan keperluan asas lain telah menyebabkan krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.
“Kami menggesa semua pihak berkaitan untuk menerima cadangan gencatan senjata seperti yang diperincikan dalam perenggan 2 Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735.”
“Kami menggesa supaya gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan serta pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan terutama wanita, kanak-kanak, pesakit serta warga emas. Kami menekan kepentingan pembebasan daripada sebarang penahanan sewenang-wenangnya,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial