Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 700 Sertai Briged Seni Kreatif APM

11/07/2025 12:34 AM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Briged Seni Kreatif Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan mencatatkan lebih 700 ahli dalam tempoh tiga bulan selepas pelancarannya pada April lepas.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac yakin sasaran 1,200 ahli yang ditetapkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menjelang 2026 akan dapat dicapai lebih awal.

“Dalam tempoh dua bulan ini saja, lebih 700 orang telah menyertai briged ini. Kami yakin dapat capai sasaran 1,200 atau 1,300 ahli dalam dua hingga tiga bulan lagi, walaupun kita belum lagi bergerak ke negeri-negeri lain seperti Sabah, Sarawak dan Johor,” katanya.

Beliau bercakap kepada Bernama selepas Majlis Penyerahan Watikah Briged Seni Kreatif APM kepada 250 penggiat seni yang terdiri daripada pelakon, penyanyi dan penggiat kreatif di sini, malam ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed.

Hans yang turut menerima watikah lantikan sebagai Penolong Pesuruhjaya Bersekutu (Pertahanan Awam) berkata pelaksanaan peringkat negeri akan dilakukan secara berperingkat dengan fokus kepada program latihan dari semasa ke semasa bagi mendekatkan penggiat seni dengan APM.

“Kita tidak mahu terburu-buru atau memaksa keahlian ini. Apa yang penting, ia berkembang secara semula jadi. Kami mahu penggiat seni melihat bagaimana mereka boleh menyumbang dan dalam masa sama mengenali APM dengan lebih dekat,” katanya.

Briged Seni Kreatif APM merupakan inisiatif menghimpunkan penggiat seni sebagai sukarelawan untuk menyumbang tenaga dan kepakaran dalam meningkatkan kesedaran awam, komunikasi berimpak tinggi serta mobilisasi komuniti semasa bencana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan