Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina kini berada “di ambang kecemerlangan”, didorong oleh usaha berterusan kedua-dua negara memperkukuh kerjasama hal ehwal serantau, perdagangan dan pelaburan.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina yang baharu, Ma. Theresa P. Lazaro berkata hubungan erat itu terjalin hasil hubungan kukuh antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Ferdinand Marcos Jr.
“Saya berpendapat hubungan dua hala antara Filipina dan Malaysia kini hampir ke tahap cemerlang, kalau boleh saya katakan begitu kerana hubungan baik antara pemimpin kedua-dua negara.
“Mereka saling mengenali dan mempunyai hubungan yang sangat baik,” katanya kepada Bernama dan Free Malaysia Today di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, pada Khamis.
Sehubungan itu, Manila sentiasa menyokong penuh Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, dengan mengiktiraf usaha negara itu dalam mempromosikan kestabilan serantau, pertumbuhan inklusif dan agenda ASEAN yang bersatu.
Lazaro, yang dilantik sebagai Setiausaha Hal Ehwal Luar berkuat kuasa 1 Julai berkata, persiapan sedang giat dijalankan bagi Filipina mengambil alih kepengerusian ASEAN tahun depan.
Beliau berkata Filipina akan meneruskan usaha murni yang telah dilaksanakan Putrajaya sepanjang 2025.
“Kami akan mengekalkan fokus dalam bidang keamanan dan keselamatan, kerjasama maritim serta perubahan iklim yang sebenarnya turut menjadi tumpuan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya.
Butiran lanjut akan diumumkan menjelang suku keempat tahun ini apabila Malaysia menyerahkan kepengerusian kepada Filipina.
Lazaro yang menggantikan Enrique Manalo selepas beliau dilantik sebagai Wakil Tetap Filipina ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan di luar sesi AMM pada Selasa.
Antara lain, mesyuarat itu menilai status kerjasama dua hala yang dibincangkan semasa Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina pada Oktober 2024.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dijadual dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi termasuk menteri luar ASEAN, Timor-Leste, rakan kongsi ASEAN, diplomat kanan dan para pegawai untuk membincangkan pelbagai isu global dan serantau yang mendesak, memperkukuh kerjasama dan memajukan agenda keselamatan serta kemampanan di rantau ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial