Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Cili Api, Halia Dan Limau Nipis Paling Laris Pada Jualan MADANI PMR Terengganu

10/07/2025 02:58 PM

KUALA TERENGGANU, 10 Julai (Bernama) -- Barang basah seperti halia tua, cili api merah segar dan buah limau nipis mendapat permintaan paling tinggi semasa Jualan MADANI, yang berlangsung sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu di pekarangan Pasar Kedai Payang di sini hari ini.

Pembantu Pengurus Jualan MADANI Terengganu Ho Bee Ying berkata pada sesi pembukaan jualan 8 pagi tadi, masing-masing sebanyak 20 kilogram (kg) cili api segar, halia dan limau purut dihantar ke reruai jualan itu namun dalam tempoh hanya dua jam, ia habis dijual.

“Petang ini, kami akan menambah stok 15kg lagi bagi setiap barang basah itu. Tidak sangka ia sangat laku, mungkin hari seterusnya, kita kena lebih bersedia dengan stok yang banyak,” katanya kepada Bernama di tapak jualan itu hari ini.

Berdasarkan tinjauan Bernama, harga cili merah segar ditawar pada harga RM9.39 sekilogram berbanding harga biasa RM12.99 sekilogram pada program itu, manakala halia RM5.49 (harga asal RM7.49) dan limau nipis RM4.89 (harga asal RM6.89).

Ho berkata pada program kali ini, pihaknya tidak menjual barangan basah seperti ayam dan daging, namun kekal menawarkan potongan harga diskaun antara 10 hingga 30 peratus ke atas barangan keperluan asas lain.

Ini termasuk sepaket Milo dengan berat dua kilogram dijual dengan harga hanya RM13.99, mi segera Maggi (RM3.89), telur gred A (RM10.49), telur gred C (RM6.49) dan lampin bayi jenama Drypers dan Diapex (RM13.99).

Sementara itu, seorang pengunjung Ruzilla Ahmad, 59, dari Marang menyifatkan program itu sebagai sangat membantu, terutama dalam keadaan harga barang yang tidak menentu.

“Saya memang tunggu Jualan MADANI ini. Kalau beli di luar, sepapan telur dan Milo itu mahal. Di sini memang berbaloi,” katanya.

Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu yang berlangsung tiga hari hingga Ahad, menyasarkan kehadiran 25,000 pengunjung, sejajar dengan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat.

Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, program itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM). 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan