Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KMJG 2025 Jelajah Tiga Daerah Di Melaka Bermula 30 Julai

10/07/2025 02:27 PM

MELAKA, 10 Julai (Bernama) -- Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 akan menjelajah ke tiga daerah di Melaka selama dua hari bermula 30 Julai depan, kata Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Beliau berkata Melaka akan menerima Jalur Gemilang dari Johor pada hari tersebut di Jasin sebelum konvoi yang disertai 68 kenderaan bergerak ke Melaka Tengah.

“Dari Melaka Tengah, konvoi yang dijangka disertai kira-kira 100 peserta itu akan meneruskan perjalanan ke Alor Gajah, dan di sana peserta akan mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai sebagai usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Kerja KMJG Peringkat Negeri Melaka 2025, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka Ab Rasil Hajatil di Pejabat JaPen Melaka di sini, hari ini.

Fairul Nizam berkata pada hari kedua, konvoi yang disertai pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat akan memulakan perjalanan dari Alor Gajah untuk menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Konvoi KMJG 2025 Negeri Sembilan di Rembau.

“Walaupun konvoi ini berlangsung selama dua hari di Melaka, apa yang lebih penting bagi saya ialah semangat kita sebagai rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

“Saya berharap agar rakyat Melaka dapat menyambut dan meraikan ketibaan konvoi ini di laluan yang akan ditentukan secara terperinci tidak lama lagi,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Pelancaran dan Pelepasan KMJG 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 27 Julai depan.

Acara tahunan kelolaan Kementerian Komunikasi dengan Japen sebagai penyelaras itu akan mengelilingi semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan sebagai sebahagian inisiatif kerajaan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan