Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Tubuh Jawatankuasa Semakan, Pembaharuan Undang-Undang Maritim Malaysia

10/07/2025 01:40 PM

PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini secara rasmi menubuhkan Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-Undang Maritim Malaysia (MLRRC).

Menurut kenyataan MOT hari ini, jawatankuasa itu diterajui Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan sebagai pengerusi manakala Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (NCC 2 & Dagang 9 (Admiralti)) Ong Chee Kwan selaku timbalan pengerusi.

Majlis penyampaian watikah pelantikan kepada ahli-ahli Jawatankuasa MLRRC disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke sekali gus menandakan permulaan rasmi pelaksanaan semakan dan pembaharuan undang-undang maritim negara secara kolektif serta berfasa.

“Penubuhan jawatankuasa MLRRC merupakan langkah strategik bagi memperkasakan landskap perundangan sektor maritim negara selaras dengan amanat Perdana Menteri menerusi Ikhtiar 10: Reformasi Perundangan dan Institusi dalam pembentangan Belanjawan 2025,” menurut kenyataan itu.

Penubuhan jawatankuasa itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina sistem perundangan maritim negara yang moden, progresif dan responsif terhadap landskap perdagangan laut yang semakin kompleks.

“Malaysia, sebagai negara perdagangan yang bergantung kepada sektor perkapalan dan pelabuhan yang 94.6 peratus dagangan negara adalah melalui laut - memerlukan undang-undang maritim yang cekap, relevan dan selari dengan amalan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa MLRRC akan menjalankan proses semakan, kajian pembaharuan dan penggubalan undang-undang maritim secara berfasa, mengambil kira magnitud serta kompleksiti kerja setiap instrumen perundangan yang terlibat.

Pada masa sama, jawatankuasa itu turut diberikan mandat menyemak dan mengesyorkan penambahbaikan terhadap undang-undang maritim di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi lain, memandangkan sistem perundangan maritim negara bersifat polisentrik.

Fasa pertama tugasan Jawatankuasa MLRRC akan menumpukan kepada enam instrumen perundangan utama, iaitu Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 [Ord. 70/1952], Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sabah) [Ord. No. 11/1960] dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sarawak) [Ord. No. 2/1960].

Instrumen lain ialah Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955 [Akta 140], Akta Lembaga Pelabuhan 1963 [Akta 488] dan Akta (Penswastaan) Pelabuhan 1990 [Akta 422].

Sementara itu, MOT memaklumkan keanggotaan MLRRC terdiri daripada 23 ahli tetap merangkumi wakil kementerian atau jabatan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, pengamal undang-undang, ahli akademik, agensi penguatkuasaan, wakil industri serta bekas pegawai kanan kerajaan.

Bagi memperkukuh kepakaran teknikal, lapan pakar ad hoc turut dilantik merangkumi bidang perkapalan, operasi pelabuhan, latihan maritim dan undang-undang perkapalan antarabangsa.

“Pelaksanaan semakan dan pembaharuan undang-undang ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun hadapan, seiring dengan Dasar Pengangkutan Negara serta menyokong agenda reformasi perundangan maritim negara ke arah sebuah sistem yang lebih mampan, inklusif dan dinamik.

“MOT kekal komited untuk terus memperkukuh tadbir urus dan kerangka perundangan maritim demi menjamin daya saing industri perkapalan negara di peringkat serantau dan global,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan