SHAH ALAM, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan kolej komuniti bagi mewujudkan pangkalan data berkaitan lepasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerjasama menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) itu bertujuan memudahkan pihak industri dan majikan mengakses maklumat berkaitan kemahiran tenaga kerja serta sumber manusia yang ditawarkan di negeri ini.
“Selangor mempunyai Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISAS) yang diperkenalkan pada 2019 bagi meningkatkan keupayaan pelajar lepasan pengajian dalam bidang tertentu seperti aeroangkasa.
“Kerajaan Persekutuan pula mempunyai politeknik yang menawarkan kursus kejuruteraan penerbangan. Justeru, perlu ada kerjasama menyeluruh. Menerusi STDC, kita akan bergabung dengan KPM dan kolej komuniti bagi mewujudkan pangkalan data ini untuk memudahkan akses kepada kemahiran dan sumber tenaga kerja di Selangor,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin (PN-Sungai Burong) yang meminta penjelasan berhubung kewujudan pangkalan data graduan TVET mengikut kemahiran.
Amirudin berkata cadangan mewujudkan pangkalan data itu akan dikemukakan dalam Belanjawan Negeri akan datang sebagai antara inisiatif dan perancangan kerajaan negeri bagi tahun hadapan.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan negeri turut giat memperkasa bidang TVET sebagai pilihan utama dalam kalangan graduan, namun masih berdepan cabaran termasuk dari segi persepsi masyarakat.
“Masih ada anggapan bahawa hanya universiti mampu menawarkan peluang pekerjaan. Justeru, bidang TVET tidak diisi sepenuhnya kerana dianggap sebagai pilihan kedua dalam sistem pendidikan.
“Pemikiran ini perlu diubah. Oleh itu, tahun hadapan kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk berkongsi maklumat mengenai tawaran pekerjaan dalam bidang TVET di peringkat sekolah menengah lagi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial