SHAH ALAM, 10 Julai (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengadakan lawatan tapak dan mengambil langkah proaktif menyelesaikan isu berkaitan longkang dan longgokan sampah domestik di bahu jalan di sepanjang Jalan Bukit Kemuning, Klang, di sini.
Menurut JKR, pihaknya menerusi JKR Negeri Selangor dan JKR Daerah Klang telah menyelaras usaha penyelesaian isu itu dengan agensi berkaitan seperti Pejabat Daerah Tanah Klang, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pihak utiliti yang berkenaan serta KDEB Waste Management (KDEBWM).
“JKR Malaysia mengambil maklum dan memandang serius terhadap video yang dimuat naik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning Preakas Sampunathan melalui akaun Facebook pada 8 Julai lepas.
“Lokasi aduan longkang yang dimaksudkan dalam video itu terletak di sepanjang Jalan Bukit Kemuning, iaitu Jalan Persekutuan FT190 di mana kerja-kerja penyenggaraan berada di bawah seliaan pihak konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd,” menurut kenyataan JKR hari ini.
Pihak JKR bersama Preakas juga telah melawat lokasi itu pada semalam, dan memberikan taklimat berkenaan kerja-kerja yang telah dan akan dilaksanakan, termasuk inisiatif bersama agensi-agensi berkaitan bagi mengatasi isu berkenaan.
Antara cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan penyenggaraan longkang di sepanjang laluan FT190, iaitu kebanyakan premis membina sendiri akses jalan masuk tanpa mematuhi spesifikasi ditetapkan.
Longgokan sampah sebagaimana dipaparkan di video itu pula berpunca daripada pembuangan sampah domestik di bahu jalan.
JKR turut memaklumkan pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM4.50 juta bagi penyenggaraan di laluan FT190 melibatkan kerja-kerja (kopak dan tampal) serta lain-lain kerja berkaitan di FT190 (Seksyen 14.00 - Seksyen 15.20)
Peruntukan itu juga meliputi kerj-kerja partial reconstruction serta lain-lain kerja berkaitan di FT190 (Seksyen 2.00 - Seksyen 3.00), meningkatkan aspek keselamatan, mengecat garisan jalan serta lain-lain kerja berkaitan di FT190 (Seksyen 9.00 - Seksyen 11.50).
JKR berharap semua pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati, mematuhi tanda arah serta arahan pihak berkuasa dari masa ke masa selain dapat bekerjasama dalam menjaga infrastruktur awam negara.
“JKR Malaysia komited dalam menyenggara aset negara serta sentiasa terbuka untuk bekerjasama dan menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih untuk disampaikan kepada rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Preakas dalam hantaran terkini di Facebook berterima kasih terhadap tindakan pantas pihak JKR mengambil tindakan di lapangan dalam menangani aduan yang dibangkitkan demi keselamatan rakyat DUN Kota Kemuning serta pengguna jalan raya secara keseluruhan.
“Saya sendiri telah turun bertemu dengan pihak JKR untuk meninjau dan menyelaraskan tindakan lanjut, dan kita akan terus pantau sehingga semua isu diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial