KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyelesaikan sebanyak 6,505 kes Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) bagi tempoh hingga bulan lepas.
KPKT dalam kenyataan hari ini memaklumkan kes yang didaftarkan sentiasa menunjukkan trend peningkatan yang ketara pada setiap tahun, dengan tahun ini setakat Jun lepas sebanyak 6,484 kes didaftarkan.
“Bagi tempoh 2024, sebanyak 12,883 kes didaftarkan di TPPS dengan 11,839 kes berjaya diselesaikan. Kes yang diselesaikan dijangka terus meningkat berdasarkan rekod kejayaan TPPS pada tahun-tahun yang lepas,” menurut kenyataan itu.
TPPS terdiri daripada dua tribunal, iaitu Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan Tribunal Pengurusan Strata (TPS), yang berperanan sebagai forum alternatif untuk menyelesaikan pertikaian antara pembeli rumah dengan pemaju perumahan serta hal-hal berkaitan pengurusan strata secara mudah, murah dan cepat.
Bagi nilai award pula, kementerian itu memaklumkan jumlah nilai award yang dikeluarkan di bawah TTPR pada tahun lepas adalah sebanyak RM26,444,180.82 manakala jumlah nilai award yang dikeluarkan oleh TPS sebanyak RM60,053,136.58.
Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyampaikan watikah pelantikan kepada tujuh presiden TPPS yang dilanjutkan tempoh perkhidmatan dalam satu majlis ringkas di KPKT, menjadikan jumlah keseluruhan presiden TPPS sebanyak 42 orang yang terdiri daripada 14 presiden TTPR dan 28 presiden TPS.
“Penambahan ini diharap dapat mempertingkatkan kecekapan pengendalian kes dan memastikan pematuhan kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan,” menurut KPKT.
Sementara itu, Nga dalam kenyataan sama berkata pencapaian TPPS itu sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau turut merujuk Laporan Daya Saing Dunia 2025 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD), yang menyaksikan Malaysia melonjak ke tangga 23 daripada kedudukan ke-34 sebelum ini.
“Peningkatan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh kecekapan, ketelusan dan integriti dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
KPKT melalui TPPS sentiasa komited dan fokus dalam memberikan perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan, selaras dengan hasrat kerajaan dalam memberikan tumpuan kepada pengurusan perumahan berstrata bagi menyediakan perumahan dan persekitaran yang berkualiti dan selesa.
“Perkara ini membuktikan peranan KPKT bukan hanya terbatas kepada penyediaan perumahan, malah terhadap pengurusan dan juga penyelesaikan isu strata,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial