KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- ASEAN mesti kekal sebagai wahana berprinsip yang memperjuangkan keadilan, undang-undang antarabangsa dan suara warga tertindas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited memperkukuh kesepaduan dan memetakan arah rantau itu menuju 2045.
Beliau berkata ASEAN tidak lahir daripada suasana yang mudah, tetapi terbentuk daripada kerumitan dan semangat dialog yang mesti terus dipelihara.
“Di tengah pergolakan geopolitik global, dari Gaza, Ukraine, Myanmar hingga Timur Tengah, kita tidak boleh tunduk pada retorik kuasa atau prinsip yang hanya ditegakkan apabila ia cocok dengan keadaan semasa,” kata beliau menerusi hantaran Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata kekuatan dalaman ASEAN perlu diperkasakan dengan meningkatkan perdagangan antara satu dengan yang lain, pelaburan rentas sempadan dan menyegerakan integrasi ekonomi serantau.
“Ia bukan pilihan, tetapi keperluan strategik demi ketahanan yang lebih tegap,” kata Anwar.
Sehubungan dengan itu, Anwar menegaskan bahawa ASEAN tidak akan membiarkan keputusannya ditentukan oleh kuasa luar, sebaliknya menjadi rantau yang berani menentukan nasibnya sendiri dengan satu suara, keberanian dan tekad yang jitu.
“Ini iltizam Malaysia. Ini suara ASEAN,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial