PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi cadangan melantik Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Unit Integriti syarikat tersebut.
Hasrat ini dizahirkan selepas pihak syarikat dimaklumkan mengenai inisiatif CeIO yang diperkenalkan oleh SPRM sebagai salah satu usaha memperkukuhkan tadbir urus dan integriti dalam sektor korporat.
Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, pihaknya menyambut baik cadangan SPRM untuk melantik CeIO dalam syarikat tersebut dan akan melaksanakan kajian terlebih dahulu.
“Langkah ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi tahap integriti dalam kalangan kakitangan Top Glove kerana kami adalah pengeluar sarung tangan terbesar di dunia.
“Inisiatif ini juga mencerminkan kesungguhan Top Glove untuk terus mempertingkatkan tatakelola serta mematuhi prinsip antirasuah,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Beliau berkata, kunjungan ini menjadi platform penting untuk bertukar pandangan berkaitan langkah-langkah pencegahan rasuah dan komitmen membebaskan syarikat daripada sebarang amalan yang tidak berintegriti.
Sementara itu, Tan Sri Azam berkata, Top Glove merupakan syarikat yang bukan saja terkenal di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Justeru, integriti adalah penting dan bukan sekadar prinsip dalaman, tetapi menjadi keperluan asas untuk terus berkembang dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan Top Glove untuk menganjurkan program “Integrity Run”, beliau menyambut baik usaha syarikat itu dalam memerangi rasuah dalam kalangan kakitangannya.
“Saya menggalakkan aktiviti seperti ini dan SPRM akan membantu memberi kerjasama diperlukan bagi menjayakan program ini. Selain itu, sumbangan dan penglibatan sektor korporat dalam program berasaskan integriti dan antirasuah layak mendapat potongan cukai,” katanya.
Hadir sama Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, TPj Rasidah Abdul Karim serta Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial