Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JPJ Panggil Semula 8,322 Kenderaan Kia, Yamaha Dan Mercedes-Benz

08/07/2025 09:37 PM

PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanggil semula 8,322 kenderaan buatan Kia, Yamaha dan Mercedes-Benz untuk tujuan pemeriksaan susulan kecacatan pada struktur, peralatan atau sistem.

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan hari ini berkata kenderaan Kia yang terlibat terdiri daripada 5,123 unit model Rio UB keluaran 2010 hingga 2017, yang disyaki berisiko mengalami litar pintas elektrik sehingga boleh menyebabkan kebakaran pada papan litar Hydraulic Electronic Control Unit (HECU).

Bagi kenderaan Yamaha, sebanyak 1,649 motosikal model MT09 dan 1,369 unit Tracer 9 GT keluaran November 2021 hingga Februari 2025 dipanggil semula kerana Throttle Position Sensor (TPS) tidak berfungsi dengan baik, manakala 149 unit model Tenere 700 keluaran 2023 hingga 2024 terlibat kerana masalah operasi klac.

Sebanyak 32 kenderaan Mercedes-Benz model S 580 e, GLC 300 4MATIC, EQS 500, AMG SL 43, EQE 53 dan EQS 53 keluaran 2023 hingga 2025 turut dipanggil semula kerana kotak fius tidak dipasang dengan betul.

“Aktiviti pemanggilan semula ini penting bagi mengelakkan kemalangan akibat kecacatan pada struktur, peralatan atau sistem kenderaan terlibat,” kata Aedy Fadly.

Beliau berkata pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pengeluar masing-masing untuk penyelarasan slot pemeriksaan.

“Oleh itu, semua pemilik model yang terlibat diminta merancang lebih awal bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan dijalankan secepat mungkin.

“Untuk maklumat lanjut, pemilik boleh menghubungi atau mengunjungi mana-mana pusat jualan dan perkhidmatan terdekat,” katanya.

Aedy Fadly berkata semua komponen yang terlibat akan diganti dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengeluar.

“JPJ akan memantau pelaksanaan proses ini dan komited memastikan semua unit kenderaan terlibat menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan