Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Putri Qisya Kuatkan Semangat Hadapi Kehilangan Ahli Keluarga

08/07/2025 08:27 PM

JERLUN, 8 Julai (Bernama) -- Anak sulung pasangan suami isteri ditemukan lemas di Sungai Korok, Jitra semalam, Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat berazam menguatkan semangat demi meneruskan kehidupan.

 Putri Qisya Nur Izzat, 12, berkata walaupun sangat sedih dengan kehilangan serentak ibu bapa serta empat adik, namun dia bersyukur kerana ramai memberi sokongan dan semangat kepadanya.

“Ramai cikgu dan ustazah datang memberi semangat. Mereka juga menasihatkan Qisya supaya sentiasa doakan arwah umi dan walid,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah neneknya di Kampung Bohor Karang, di sini hari ini.

Semalam, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan isteri Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, ditemukan lemas bersama anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.

Kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Korok pada Sabtu lepas, sebelum ditemukan pagi semalam.

Putri Qisya Nur Izzat terselamat kerana berada di rumah nenek ketika kejadian.

Sementara itu, nenek kanak-kanak itu Roswati Zainol, 52, berkata cucunya sedang berusaha menguatkan semangat untuk menerima hakikat tragedi tersebut.

“Qisya semalam nampak kuat tapi hari ini kelihatan sugul. Saya minta dia berkongsi perasaan kerana bimbang nanti dia sakit (jika memendam),” katanya.

Roswati berkata beliau menyerahkan kepada cucunya untuk memutuskan mahu tinggal bersamanya atau ibu saudara selepas ini.

“Saya tidak memaksa atau menyuruh, ikut rasa hati dia dengan siapa serasi,” katanya.

Sementara itu, kediaman Roswati terus dikunjungi pelbagai pihak hari ini bagi memberikan sokongan dan menghulurkan bantuan kepada Putri Qisya Nur Izzat termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Semasa kunjungan itu, Ahmad Zahid mengumumkan kanak-kanak itu akan dijadikan anak angkat Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membantu meneruskan pelajaran sehingga ke universiti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan