Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

468 Perusahaan Sosial Terima Akreditasi KUSKOP Setakat Jun 

08/07/2025 07:31 PM

SUBANG JAYA, 8 Julai (Bernama) -- Sebanyak 468 perusahaan sosial telah menerima akreditasi daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) setakat Jun tahun ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri R. Ramanan berkata jumlah penerima manfaat daripada perusahaan sosial yang diberi akreditasi tersebut pula melebihi 56,000 penerima sekali gus mencerminkan sumbangan signifikan sektor itu dalam membantu masyarakat.

“Proses akreditasi ini dilaksanakan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) melalui kursus dan latihan bagi memperkasakan perusahaan sosial.

“INSKEN juga akan melaksanakan lebih banyak program berkaitan perusahaan sosial dan ini hanyalah permulaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan The Changemakers INTI International College Subang dan Seminar Keusahawanan Sosial anjuran INSKEN di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Viviantie Sarjuni dan Ketua Eksekutif INTI International College Subang (IICS) Dr Jane Lim.

Ramanan berkata KUSKOP komited memperkukuh ekosistem perusahaan sosial di negara ini menerusi dasar dan insentif yang kondusif, kerjasama rentas sektor serta usaha memperkasakan suara komuniti akar umbi dan kumpulan terpinggir.

Beliau berkata berdasarkan laporan Forum Ekonomi Dunia 2024, dianggarkan terdapat 10 juta perusahaan sosial di seluruh dunia yang menjana pendapatan sekitar USD2 trilion setahun serta mewujudkan hampir 200 juta pekerjaan.

“Justeru, usaha memperkasakan perusahaan sosial lebih penting kini lebih-lebih lagi ketika dunia berdepan cabaran sosial dan ekonomi yang semakin kompleks,” katanya.

Dalam pada itu, Ramanan turut memuji inisiatif program itu oleh pelajar IICS yang menurutnya mencerminkan semangat sebenar perusahaan sosial kerana ia bukan sahaja memberikan manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan tetapi juga kepada pelajar sendiri.

The Changemakers @ IICS merupakan inisiatif di bawah program University Social Enterprise (UCSE) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan memupuk keusahawanan sosial dalam kalangan pelajar menerusi tindakan berasaskan nilai dan impak komuniti.

Antara tumpuan utama inisiatif itu ialah pengenalan Kotak Cantik, yang mengagihkan kit kebersihan kepada keluarga B40 di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) sambil memberi pendedahan langsung kepada pelajar dalam merancang dan melaksanakan inisiatif sosial.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan