Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Enam Beranak Maut: Anak Sulung Mimpi Ayah Pesan Jangan Sedih

07/07/2025 09:54 PM

ALOR SETAR, 7 Julai (Bernama) -- “Arwah ayah datang dan minta saya jangan sedih kerana tak dapat menjaga saya lagi. Ibu dan adik-adik juga ada dalam mimpi itu.” 

Demikian kata Putri Qisya Nur Izzat Muhammad Azim Izat, anak sulung kepada pasangan Muhammad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang ditemukan maut bersama empat lagi anak mereka di dalam kereta yang tenggelam dalam Sungai Korok di Jitra pagi tadi.

Putri Qisya Nur Izzat, 12, berkata dalam mimpi itu dirinya sempat berbaring di riba arwah ayahnya yang memakai jersi sama semasa kali terakhir mereka bertemu, sebelum dia tersedar daripada tidur dan diberitahu bahawa semua ahli keluarganya sudah tiada.

“Nenek dan ibu saudara pesan supaya saya jangan risau kerana mereka akan jaga dan tidak akan biarkan saya keseorangan," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini. 

Selain itu, Putri Qisya Nur Izzat berkata ibunya juga pernah berpesan supaya tidak bersedih semasa kehilangan adiknya yang masih bayi, Jebat Haydar pada Februari lepas. 

“Ibu pesan yang pergi (meninggal dunia) itu adalah adik dan bukan ibu. Masa itu, ibu kata jika betul hendak pergi juga, nanti kita semua pergi sama-sama supaya tidak menyusahkan sesiapa,” katanya.

Kanak-kanak itu berkata menjadi kebiasaan untuk mereka ke rumah ibu saudaranya di Taman Seri Aman, Jitra pada hujung minggu namun dia memutuskan untuk tinggal bersama nenek di Jerlun pada Jumaat lepas. 

Dia menukar fikiran pada saat akhir meskipun seorang daripada adiknya tetap mengajaknya untuk ikut sama ke Jitra. 

“Selepas mengetahui kehilangan mereka, saya turut sama mencari ayah, ibu dan adik-adik di beberapa kawasan di sungai itu, tetapi tidak berjumpa. Hati saya memang berdebar-debar dan tidak sedap hati,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Azim Izat dan  Nurul Hidayah Khadijah, serta empat anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, serta Tuah Haydar, 6 bulan, ditemukan maut di dalam kereta yang tenggelam dalam Sungai Korok. 

Enam beranak itu dilaporkan hilang sejak Sabtu lepas, semasa dalam perjalanan pulang ke Jerlun dari Jitra. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan