Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek NADI Pulau Banggi Ungguli Hadiah WSIS 2025

07/07/2025 08:45 PM

Daripada Mohd Khairi Idham Amram

GENEVA (Switzerland), 7 Julai (Bernama) -- Projek Inklusif Digital NADI Malaysia kendalian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dinobatkan sebagai juara Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Maklumat Sedunia (WSIS) menerusi Inisiatif NADI Pulau Banggi.

Projek itu yang memfokuskan kepada pemerkasaan komuniti paling terpencil di Malaysia dengan kemahiran digital, literasi ICT dan akses kepada peluang ekonomi meraih kemenangan dalam kategori C4:Pembinaan Kapasiti.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerima anugerah berkenaan dalam satu majlis rasmi sempena Sidang Kemuncak Peringkat Tinggi Masyarakat Maklumat Sedunia+20 (WSIS+20) di sini hari ini.

Dalam ucapan penerimaannya, beliau berkata kejayaan tersebut membuktikan komitmen kerajaan MADANI dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus digital.

“Kejayaan ini milik komuniti yang telah memperoleh kemahiran digital demi masa depan yang lebih baik dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong visi negara inklusif serta saling berhubung,” katanya.

Pulau Banggi yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Kudat, Sabah dan hanya boleh diakses menerusi feri atau bot laju, menempatkan kira-kira 20,000 penduduk dengan sumber ekonomi utama berasaskan perikanan, kelapa sawit dan getah.

Sementara itu, Projek Stingray II Pulau Ketam juga diiktiraf sebagai johan dalam kategori C2: Infrastruktur Maklumat dan Komunikasi menerusi pelaksanaan kabel gentian optik dasar laut sejauh 46.4 kilometer.

Projek itu membantu penduduk setempat terutama pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian, selain memudahkan capaian kepada perkhidmatan teleperubatan serta melonjakkan pertumbuhan perniagaan digital berskala kecil.

Dalam pada itu, Ketua pejabat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Mohd Arif Adenan berkata pengiktirafan antarabangsa yang diterima Malaysia itu membuktikan negara ini mampu menjadi peneraju  dalam bidang telekomunikasi global.

“Ini satu kejayaan membanggakan kerana ia membuktikan Malaysia tidak meninggalkan mana-mana rakyatnya dalam aspek kesalinghubungan digital dan internet,” katanya kepada media di sini.

Menurutnya  penyertaan MCMC dalam WSIS+20 juga memperkukuh sokongan negara terhadap inisiatif Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berikutan kejayaan di Pulau Banggi, MCMC memaklumkan inisiatif NADI kini diperluaskan ke kawasan lain termasuk Pulau Mandi darah di utara Sabah, dengan sasaran perluasan ke seluruh negara menjelang 2035 menerusi model latihan berskala dan pembiayaan jangka panjang di Sabah dan Sarawak.

Anugerah WSIS dianjurkan ITU bersama agensi-agensi PBB bagi mengiktiraf projek ICT yang menyumbang ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sejagat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan