SEPANG, 7 Julai (Bernama) -- Menteri-menteri luar ASEAN dan negara rakan utama mula tiba di Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan, yang akan bermula secara rasmi pada Selasa.
Antara yang tiba ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.07 petang, manakala Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negeri Brunei Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof tiba di Terminal 1, KLIA pada 11.30 pagi.
Setiausaha Agung Hal Ehwal Luar Negeri Brazil Maria Laura da Rocha pula tiba pada 3.24 petang, manakala Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn pada 2 petang.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan merupakan acara tahunan penting dalam kalendar ASEAN, dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Mesyuarat itu akan menjadi antara perhimpunan terbesar menteri-menteri luar dan diplomat kanan dari seluruh dunia, bagi membincangkan isu global dan serantau yang mendesak, mengukuhkan kerjasama serta memajukan agenda keselamatan dan kelestarian dalam ASEAN.
Lebih 40 menteri luar dan wakil pertubuhan antarabangsa, dijadualkan menghadiri siri mesyuarat yang diketuai ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai.
Semua menteri luar ASEAN akan hadir, kecuali Myanmar yang diwakili seorang pegawai kanan kementerian luarnya, manakala Menteri Luar Timor-Leste akan turut serta sebagai pemerhati.
Ini kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaannya dalam blok serantau ini, selepas kali terakhir mempengerusikannya pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial