Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Firos Tiada Masalah Kesihatan, Sepatutnya Hantar Anak Ke KPTM Hari Ini - Isteri

06/07/2025 07:16 PM

BALIK PULAU, 6 Julai (Bernama) -- Bekas penjaga gol legenda Pulau Pinang, Firos Mohamed yang meninggal dunia selepas rebah ketika beraksi dalam perlawanan empat penjuru Piala Dr Zambry Abd Kadir di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak, malam tadi tidak mempunyai sebarang penyakit termasuk berkaitan jantung.

Isteri Allahyarham, Fildaanis Mat, 51, berkata suaminya yang berusia 53 tahun itu memang seorang yang aktif dalam bola sepak dan menjadi jurulatih bagi penjaga gol untuk Akademi Bola Sepak Pulau Pinang hingg kini.

"Saya dan anak-anak (tiga anak lelaki berusia 18 hingga 29 tahun) bersama arwah ke kejohanan itu sebab hendak tengok dia bermain di stadium. Mengikut perancangan sepatutnya hari ini kami nak terus hantar anak bongsu (Mohamad Fairiel Danish) ke Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Bangi, Selangor bagi menyambung pengajian dalam bidang pengurusan sukan.

"Semalam sebelum perlawanan arwah tak tunjuk apa-apa kelainan cuma nampak bersemangat bermain macam orang muda terutama setelah ketinggalan 0-1 dengan pasukan Ex-Kedah, dan dua minit sebelum perlawanan tamat arwah tiba-tiba rebah," katanya kepada pemberita selepas pengebumian Allahyarham Firos di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah, Sungai Batu di sini.

Terdahulu, jenazah dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan di Surau Kampung Melayu, Air Itam dan lebih 100 orang terdiri daripada rakan-rakan serta ahli keluarga menghadiri pengebumian tersebut yang selesai sepenuhnya pada 4.30 petang.

Fildaanis berkata mereka sekeluarga masih terkejut dengan kejadian itu, khususnya anak bongsu yang meluru ke kawasan padang apabila melihat Allahyarham rebah malah Mohamad Fairiel Danish juga pengsan selepas mendapati ayahnya tidak sedarkan diri.

"Arwah memang tidak pernah mengadu sakit dan tiada penyakit serius. Cuma saya terkesan apabila arwah sering memandang muka saya sejak beberapa hari lepas dan kali terakhir bertemunya ketika bersama-sama dalam bas dari hotel di Manjung ke stadium untuk kejohanan tersebut," katanya.

Mohamad Fairiel Danish pula berkata walaupun sangat sedih kehilangan ayahnya, dia perlu kuat untuk menyambung pelajaran demi mengejar cita-cita menjadi guru sukan.

"Ayah memang sangat gembira apabila tahu saya akan menyambung pelajaran dalam bidang sukan kerana saya dan adik-beradik lain dari kecil memang telah dibawa ke padang untuk melihat arwah bermain bola sepak," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Ex-Penang Mohd Azmi Ali, 57, berkata dia dan Allahyarham rapat sejak 20 tahun lepas kerana bersama-sama dalam pasukan Piala Presiden dan pasukan Pulau Pinang.

"Arwah adalah antara penjaga gol terbaik Pulau Pinang dan pernah terpilih antara enam pemain negeri mewakili Malaysia untuk program latihan Kelab Bola Sepak Barcelona pada 80-an selain menjadi penjaga gol Malaysia pada tahun 90-an,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih pasukan Ex-Penang yang juga Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang Radzuan Putah, 60, berkata pemergian Firos satu kehilangan besar kepada industri bola sepak Pulau Pinang dan negara.

Terdahulu, beberapa video tular di media sosial memaparkan Firos rebah ketika beraksi menentang pasukan legenda dari Kedah sebelum Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman mengesahkan bahawa Firos meninggal dunia akibat serangan jantung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan