Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lima Keluarga Orang Asli Bukit Lagong Nikmati Bekalan Tenaga Solar Percuma

06/07/2025 05:04 PM

GOMBAK, 6 Julai (Bernama) -- Selepas lebih tujuh tahun bergelap tanpa bekalan elektrik, lima keluarga Orang Asli di Kampung Lagong di sini mampu menarik nafas lega apabila rumah mereka akhirnya diterangi cahaya menerusi pemasangan lampu solar percuma.

Projek pemasangan tenaga solar itu merupakan hasil inisiatif Persatuan Kebajikan Hawariyyun dengan kerjasama Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi membantu penduduk menikmati bekalan tenaga bersih dan lestari.

Dekan AAGBS UiTM Prof Dr Norzanah Mat Nor berkata penggunaan tenaga solar itu dapat memberi kesan positif kepada penduduk selain menjadi titik tolak kepada perubahan ke arah gaya hidup lebih mampan.

"Pemasangan tenaga solar ini memberi manfaat kepada penduduk di Kampung Orang Asli Bukit Lagong terutama mereka yang tinggal di pedalaman dan difahamkan ada penduduk yang mengalami kekurangan akses kepada bekalan elektrik. 

"Jadi inisiatif dijalankan ini dapat membantu penduduk mendapatkan sumber tenaga yang bersih dan lestari. Insya-Allah usaha ini akan diteruskan pada masa akan datang supaya dapat membantu golongan yang memerlukan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Solar Power Outreach Program di Kampung Orang Asli Bukit Lagong di sini hari ini.

Selain pemasangan solar, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk ceramah kesedaran berkenaan tenaga solar dan saringan kesihatan percuma serta sumbangan bantuan pek makanan asas kepada 100 keluarga.

Sementara itu, Pensyarah Kanan AAGBS UiTM Dr Sharizan Sharkawi berkata  program itu merupakan inisiatif pelajar subjek ‘Leadership and Managing Talent’  di bawah bimbingan beliau, yang berjaya menghimpunkan pelbagai pihak bagi menyalurkan penyelesaian tenaga lestari serta bantuan kebajikan kepada komuniti Orang Asli yang memerlukan.

"Pemasangan solar yang bermula sejak 21 Jun lepas itu mengambil masa dua minggu untuk disiapkan dan setakat ini kita sudah memasang solar di lima rumah  terpilih di kampung ini.

"Kita juga berhasrat untuk menambah (solar) di 10 rumah lagi di kampung yang sama pada masa akan datang tetapi ia bergantung pada peruntukan diterima bagi merealisasikan inisiatif tersebut sekali gus memberi manfaat kepada golongan memerlukan," ujarnya.

Dalam pada itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Lagong Muhammad Asran Tepus berkata kampung yang dibuka sejak 2018 itu tidak mempunyai bekalan elektrik dan penduduk hanya bergantung pada lampu minyak dan pelita.

"Terima kasih kepada pihak terlibat atas sumbangan pemasangan solar di rumah terpilih namun masih terdapat lagi beberapa rumah yang masih belum mempunyai bekalan elektrik sepenuhnya disebabkan lokasi yang jauh di pedalaman. Kita harap usaha untuk membantu mereka dapat dipermudahkan pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Hawariyyun Al-Ikhwan Rahmatullah berkata pihaknya akan membiayai peruntukan untuk memasang solar di rumah yang masih tidak mempunyai bekalan elektrik atas faktor penempatan yang terletak jauh di pedalaman.

"Saya dimaklumkan terdapat tiga lagi rumah di kampung ini masih menggunakan sepenuhnya pelita dan minyak tanah. Jadi kami membuat keputusan untuk bekerjasama dengan The Solar Research Institute (SRI) UiTM untuk memasang tenaga solar di rumah terlibat dalam masa terdekat ini bagi memastikan keluarga tersebut mendapat kehidupan lebih baik," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan