Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ahmad Zahid Ucap Takziah Pemergian Bapa Mentua Hamzah

05/07/2025 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan takziah kepada Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainudin atas pemergian bapa mentuanya Datuk Abdul Ghani Ngah yang meninggal dunia pada 1.45 tengah hari tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga Hamzah diberi ketabahan dan kekuatan untuk melalui saat sukar.

“Sesungguhnya ini satu ujian yang amat berat buat keluarga dan satu kehilangan besar kepada semua yang mengenali beliau.

“Marilah kita semua bersama-sama mengirimkan al-Fatihah kepada Allahyarham, yang juga merupakan bapa mentua kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampuni segala dosa, dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Difahamkan Abdul Ghani, 83, dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan mengalami komplikasi dalaman dan sesak nafas susulan kebakaran di rumahnya pada 19 Jun lepas.

Jenazah Allahyarham disolatkan malam ini selepas solat isyak di Masjid Kampung Melayu Sungai Rapat dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya, Ipoh, Perak.

Dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah dua tingkat itu, isteri kepada Abdul Ghani, Datin Salmiah Nyak Matt, 84, terkorban selepas ditemukan tidak sedarkan diri di ruang bilik bahagian bawah rumah oleh pasukan penyelamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan