KANGAR, 5 Julai (Bernama) -- Etiqa Family Takaful Berhad menyalurkan zakat korporat bagi tahun 2024 berjumlah RM982,244.50 kepada negeri Perlis, melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai usaha memperkasakan komuniti melalui pendekatan zakat korporat yang menyeluruh dan bersasar.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs, berkenan menerima cek cura sebagai simbolik penyerahan zakat itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad Zafri Ab Halim di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun Al-ikhwan Rahmattullah.
Etiqa dalam kenyataan memaklumkan selain pemberian zakat itu, mereka turut memberikan bantuan pek makanan untuk manfaat 350 keluarga asnaf di Perlis, dikelolakan Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun dengan 30 penerima mendapat pek makanan tersebut sebagai simbolik penyampaian bantuan itu, hari ini.
“Turut diadakan, Kayuhan Berbasikal Amal sejauh 15 kilometer sekitar bandar Kangar dengan persinggahan di tiga rumah asnaf terpilih, bagi menyampaikan sumbangan yang turut diserikan dengan penglibatan Tuanku Syed Faizuddin Putra. Acara ini dianjurkan bersama Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun selaku NGO (badan bukan kerajaan) pelaksana,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Etiqa juga menaja sepenuhnya saringan kesihatan dan mamogram secara percuma dengan kerjasama National Cancer Society Malaysia (NCSM), sebagai pengisian program sempena majlis penyerahan zakat tersebut.
Sementara itu, Zafri berkata program sedemikian selari dengan tujuan korporat Etiqa iaitu “Menjadikan Dunia Tempat yang Lebih Baik” dan zakat bukan sekadar memberi tetapi turut menyentuh serta memperbaiki kehidupan mereka yang memerlukan.
“Dengan menggabungkan bantuan makanan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan, kami berharap akan dapat membawa perubahan berkekalan kepada komuniti.
“Bukan itu sahaja, semoga zakat yang diagihkan melalui MAIPs pada hari ini, dapat memberi manfaat kepada lebih ramai golongan memerlukan,” katanya dalam kenyataan itu.
Zafri berkata Etiqa menyumbang sebanyak RM80,000 untuk bantuan pek makanan kepada penduduk Perlis yang layak, iaitu dipilih melalui kerjasama Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun dan MAIPs.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial