BANGI, 5 Julai (Bernama) -- Hampir 79,000 pelajar daripada 525 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terlibat dalam Program Pemerkasaan Literasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilaksanakan Pusat Informasi Bioteknologi Malaysia (MABIC) menerusi geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P. Prabakaran berkata program dengan peruntukan RM698,227 daripada unit transformasi itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran dan minat pelajar SJKT terhadap bidang STEM.
Beliau berkata MABIC menerima geran MITRA bagi menjayakan pelbagai program STEM termasuk pertandingan kuiz sains dan penerbitan akhbar sains Petri Dish yang turut diedarkan ke semua 525 SJKT.
“Program dikenali sebagai Ariviyal Ainthiram itu dilaksanakan secara dua komponen bermula Oktober 2023 hingga Julai 2025. Komponen pertama adalah pemberian akhbar Petri Dish dengan sisipan khas bahasa Tamil berkenaan literasi STEM.
“Kemuncak kepada program ini ialah pertandingan Who Wants to Be a Scientist yang berlangsung hari ini, dengan penyertaan 90 pelajar terbaik daripada lebih 2,000 peserta seluruh negara bagi kuiz sains berkenaan. Pertandingan akhir dijalankan dalam format interaktif, diadili oleh pakar akademik beberapa universiti tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pusingan akhir Who Wants to Be a Scientist di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.
Prabakaran berkata kejayaan program Ariviyal Ainthiram turut mencerminkan keupayaan penerima geran yang mematuhi garis panduan permohonan dan melaksanakan program mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Ramai gagal dapat geran MITRA kerana tidak mengikut garis panduan asas tapi MABIC buktikan jika permohonan dibuat dengan betul dan pelaksanaan berkesan, hasilnya sangat membanggakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif MABIC Dr Mahaletchumy Arujanan menzahirkan penghargaan kepada MITRA atas peruntukan berkenaan, yang membolehkan pusat informasi itu melaksanakan program literasi STEM kepada kumpulan sasaran.
“MABIC bukan saja mahu surat khabar itu sampai kepada sekolah Tamil, tetapi kami juga mahukan surat khabar itu dibaca dan dimanfaatkan sepenuhnya. Daripada situ, ia menyemarakkan lagi minat mereka terhadap STEM dan pelajar akan mencari sumber lain berkaitan STEM. Itu matlamat utama MABIC.
“MABIC juga mahu pelajar SJKT faham bidang STEM mula menjadi kerjaya pilihan dan kami mahu menyediakan mereka ke arah itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial