Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perbadanan Labuan Promosi Festival Flora Borneo Di Eksposisi Minyak & Gas Terbesar Sabah 2025

05/07/2025 05:51 PM

LABUAN, 5 Julai (Bernama) -- Perbadanan Labuan (PL) memperluas peta promosinya bagi Festival Flora Borneo (BFF) akan datang dengan membawakan acara pelancongan utama pulau itu ke satu daripada platform industri paling berprestij di Sabah – Persidangan dan Pameran Minyak, Gas & Tenaga Sabah (SOGCE) 2025.

Kempen promosi tersebut berlangsung sepanjang dua hari pameran dari 3 hingga 4 Julai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, bagi menarik perhatian peserta tempatan dan antarabangsa yang menghadiri acara industri minyak dan gas terbesar di negeri itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PL Azali Ardi mengetuai kempen berkenaan, bersama Ketua Unit Pelaburan PL Edzrina Tamin dan Shafika Azlin.

Pasukan promosi aktif mendekati pengunjung dengan mengedarkan risalah acara serta mengetengahkan sorotan utama Festival Flora Borneo seperti persembahan bunga-bungaan ikonik, pertandingan landskap, elemen ekopelancongan dan pertunjukan kebudayaan.

Festival yang dijadual berlangsung hujung tahun ini di Labuan itu merupakan sambutan berwarna-warni yang menggabungkan unsur alam semula jadi, seni dan komuniti.

Acara tersebut turut menampilkan perarakan bunga berhias, pameran reka bentuk taman, pemasangan bunga kreatif, persembahan tradisional serta program pendidikan yang menekankan kelestarian alam sekitar dan pembangunan pelancongan.

Azali berkata promosi strategik di SOGCE 2025 selaras dengan aspirasi PL untuk meletakkan Labuan sebagai destinasi utama ekopelancongan dan kebudayaan di rantau ini.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memperluas kehadiran Labuan melepasi sempadan pulau dan menyerlahkan potensi pelancongan serta kebudayaan yang dibawa oleh Festival Flora Borneo,” katanya kepada Bernama.

Acara tersebut dijangka menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara, menawarkan pengalaman imersif untuk seisi keluarga, pencinta alam dan peminat budaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan