KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Penggubalan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) berlangsung hari ini, menandakan bermulanya kerja-kerja penyediaan menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dijadualkan pada 8 hingga 11 Julai.
Mesyuarat yang dipengerusikan Setiausaha Bahagian Tugas-tugas Khas, Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Sekretariat Kebangsaan ASEAN Malaysia Datuk Suhaimi Jaafar antara lain menumpukan kepada rundingan dan memuktamadkan Kenyataan Bersama yang akan menjadi dokumen penting AMM ke-58.
Kenyataan Bersama itu akan menegaskan pendirian dan keputusan bersama Menteri-Menteri Luar ASEAN berhubung integrasi serantau, usaha pembinaan komuniti serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Sesi penggubalan itu turut dilihat sebagai langkah penting dalam merangka agenda dan menetapkan hala tuju perbincangan menjelang mesyuarat di peringkat menteri.
Mesyuarat berkenaan turut disertai Timor-Leste yang hadir selaku pemerhati.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di bawah tema Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan meliputi 24 mesyuarat di peringkat Menteri Luar ASEAN termasuk mesyuarat bersama Rakan Dialog, Rakan Dialog Sektoral ASEAN dan Sekretariat ASEAN.
Selain itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV).
Dipengerusikan bersama Jepun dan Palestin, persidangan itu akan membincangkan inisiatif bagi menyokong pembinaan serta pembangunan semula Gaza dan Palestin.
AMM ke-58 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan dihadiri kira-kira 1,500 delegasi termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial