Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengamal Media Mula "Berkampung" Di KLCC Sempena AMM Ke-58

05/07/2025 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Pengamal media tempatan dan antarabangsa hari ini mula “berkampung” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang bermula Selasa hingga 11 Julai ini.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati pengamal media tiba seawal 8 pagi bagi mengambil kad akreditasi serta mengikuti tinjauan kemudahan dan kelengkapan yang dilakukan wakil Kementerian Luar.

Pihak media turut dibawa meninjau Pusat Media Antarabangsa (IMC) di Dewan 5, KLCC yang menyediakan ruang kerja media selesa, selain kemudahan rangkaian Internet berkelajuan tinggi melalui LAN dan Wi-Fi serta penyediaan makanan setaraf hotel berbintang.

Mohammad Fikri Ali, wakil daripada RT berkata persiapan disediakan di IMC oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku penyelaras IMC sangat sistematik.

“Walaupun mendaftar pada saat akhir, Bernama memudahkan proses pendaftaran, tapisan keselamatan dan urusan keselamatan. Komunikasi dan urusan bersama pegawai kementerian juga lancar. Tinjauan tadi juga sangat jelas buat pengamal media lebih-lebih lagi yang kali pertama membuat liputan mesyuarat seumpama ini,” katanya kepada Bernama.

Lok Sai Mun daripada Sin Chew Daily berkata kemudahan di IMC menepati kehendak pengamal media untuk melaksanakan tugas dengan baik.

“Saya rasa persiapan dan kemudahan kali ini baik dan ada pertambahan beberapa kelengkapan. Saya harap mesyuarat kali ini berjalan dengan lebih lancar,” katanya.

Semalam, Penyelaras IMC Zaria Mohd Nasri berkata hampir 1,000 media dari dalam dan luar negara dijangka berkumpul di ibu negara bagi membuat liputan berkaitan mesyuarat itu. 

Zaria yang juga Ketua Sekretariat Media berkata Bernama berperanan sebagai media rasmi dan penyelaras IMC bagi mesyuarat-mesyuarat berkenaan, komited memastikan kerja-kerja menyiapkan ruang kerja media dan sekretariat media berjalan lancar sebagaimana dirancang.

Beliau pihaknya turut menyediakan platform untuk pihak media mendapatkan gambar berkaitan mesyuarat itu melalui https://aseanfoto.bernama.com serta berita mengenai ASEAN melalui https://asean.bernama.com.

Sebanyak 24 mesyuarat di peringkat Menteri Luar ASEAN akan diadakan, termasuk mesyuarat bersama Rakan Dialog, Rakan Dialog Sektoral ASEAN dan Sekretariat ASEAN.

Mesyuarat itu dijangka dihadiri kira-kira 1,500 delegasi yang diketuai Menteri-Menteri Luar dari Negara Anggota ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Negara Peserta Forum Serantau ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral ASEAN.

Selain itu, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV) di sela-sela AMM ke-58, dipengerusikan bersama Jepun bagi membincangkan inisiatif dan usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin.

Malaysia mengambil alih tampuk Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan tahun ini daripada Laos, kali kelima negara memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan