Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

APETNA 2025: 800 Delegasi Dari 18 Negara Berkumpul Di Pulau Pinang

04/07/2025 04:57 PM

GEORGE TOWN, 4 Julai  (Bernama) -- Kira-kira 800 delegasi dari lebih 18 negara Asia Pasifik berkumpul di Pulau Pinang sempena Persidangan Persatuan Jururawat Terapi Enterostomal Asia Pasifik (APETNA) 2025 ke -11, menandakan pencapaian penting bagi sektor penjagaan kesihatan Malaysia. 

Pengerusi APETNA 2025 Mariam Mohd Nasir berkata persidangan tiga hari yang bermula hari ini, menghimpunkan pakar klinikal, jururawat, penyelidik, pendidik dan pemimpin industri bagi berkongsi pengetahuan dan kemajuan dalam bidang terapi enterostomal.

“APETNA 2025 melangkaui jangkaan dengan jumlah penyertaan yang luar biasa dan kehadiran mereka mencerminkan komitmen global yang kian meningkat terhadap kemajuan dalam amalan terapi enterostomal,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian APTENA 2025 di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini hari ini, yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen.

Mariam berkata persidangan tersebut dianjurkan bersama oleh M&T Network Consultancy Services Sdn Bhd dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), merupakan kerjasama pertama antara institusi akademi perubatan Malaysia dan pihak swasta di peringkat Asia-Pasifik.

Bertemakan Creating Connections, Building Bridges Together, beliau berkata persidangan itu mengambil inspirasi daripada jambatan ikonik Pulau Pinang yang melambangkan kuasa perpaduan, kepelbagaian dan kerjasama rentas sempadan dalam bidang penjagaan kesihatan.

Beliau turut menjelaskan bahawa tema tersebut mencerminkan matlamat lebih luas APETNA iaitu membina kerjasama kukuh merentasi disiplin, negara dan komuniti dalam bidang penjagaan stoma, luka dan inkontinens.

Mariam berkata program saintifik itu merangkumi gabungan dinamik ceramah plenari, bengkel klinikal dan pembentangan poster interaktif serta perkongsian pandangan pakar antarabangsa dan serantau mengenai inovasi terkini dalam penjagaan stoma, penyembuhan luka dan pengurusan inkontinens.

Acara itu turut menampilkan pameran penjagaan kesihatan dengan penyertaan lebih 20 syarikat, sebagai platform bagi mempamerkan teknologi dan produk perubatan canggih.

Sementara itu, Gooi berkata persidangan itu bukan sahaja menjadi bukti komitmen dan visi penganjur tetapi juga kepentingan perkongsian ilmu berterusan dan kerjasama dalam memajukan piawaian penjagaan kesihatan. 

“Selain menjadi daya tarikan pelancong, Pulau Pining kini muncul sebagai hab perubatan pelancongan, pendidikan tinggi dan teknologi kesihatan yang dinamik. Kita berbangga kerana Pulau Pinang kini juga diiktiraf sebagai atas peranannya dalam kemajuan penjagaan kesihatan serantau,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan