BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Mangsa dan waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik pada 9 Jun lepas diminta menghubungi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menyelaras tuntutan insurans.
Menurut kenyataan APAD, individu yang terlibat boleh berhubung dengan pegawai agensi berkenaan Ameera Mohd Ali menerusi talian 03-2603 6763 atau e-mel ameera@apad.gov.my untuk maklumat lanjut selain boleh mendapatkan bantuan di pejabat APAD berhampiran.
Berdasarkan rekod agensi tersebut, seramai 37 waris mangsa berasal dari Terengganu, empat dari Kelantan manakala masing-masing seorang dari Kuala Lumpur dan Johor.
"Bagi memudahkan proses pengesahan maklumat, APAD turut bekerjasama dengan pihak UPSI untuk menghubungi semua mangsa dan waris yang terlibat.
"APAD menzahirkan rasa simpati dan dukacita atas tragedi yang meragut 15 nyawa serta mencederakan beberapa pelajar UPSI yang lain, APAD komited untuk memastikan kebajikan mangsa dan waris diberi perhatian sewajarnya melalui proses tuntutan insurans yang adil," menurut kenyataan itu.
Selain itu, APAD turut memaklumkan bahawa agensi itu sentiasa memantau aspek keselamatan operasi pengangkutan awam darat dengan memastikan pematuhan Keperluan Tahap Perkhidmatan serta syarat lesen yang wajib dipatuhi oleh semua pengendali.
Dalam kejadian awal pagi itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak terlibat kemalangan di JRTB, Gerik.
Kemalangan turut mengakibatkan 33 individu lain cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial