KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- TikTok Shop melanjutkan tempoh Pemulangan Percuma daripada 15 hari kepada 30 hari, bagi produk berjenama tulen yang dibeli melalui TikTok Shop Mall, dalam usaha meningkatkan keyakinan pelanggan dan pengalaman membeli-belah dalam talian.
Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata dasar Pemulangan Percuma selama 30 hari ini akan memberikan jaminan lebih tinggi kepada pengguna, selain merancakkan pertumbuhan jenama dan pencipta afiliasi.
"Keyakinan pengguna ialah asas kepada ekosistem e-dagang yang dinamik dan mampan, kami kekal komited untuk mempertingkatkan pengalaman membeli-belah dalam talian bagi komuniti kami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nur Azre berkata kajian dalaman TikTok Shop menunjukkan bahawa ketenangan fikiran mempengaruhi tingkah laku pembelian lebih 80 peratus pengguna.
"Dengan memanfaatkan dasar Pemulangan Percuma 30 Hari serta ketulenan jaminan 100 peratus, jenama yang mengambil bahagian serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan bakal memperoleh kelebihan dalam membina kredibiliti, meningkatkan kadar pertukaran jualan serta menggalakkan pembelian berulang," katanya.
Dasar pemulangan yang dilaksanakan pada awal Jun lepas itu, bertujuan memastikan proses selepas jualan yang adil untuk pembeli dan penjual.
Penjual mungkin menolak permohonan pemulangan sekiranya produk berkenaan dikembalikan dalam keadaan yang tidak memuaskan manakala TikTok Shop akan menanggung kos penghantaran bagi pemulangan atas sebab "Tidak Diperlukan Lagi" sekali gus memberi lebih keyakinan kepada pengguna tanpa membebankan penjual.
Pengguna boleh mengenal pasti produk yang layak melalui lencana "Mall" yang dipaparkan bersebelahan tajuk produk. Semua pesanan dengan lencana itu dilindungi di bawah dasar Pemulangan Percuma 30 Hari. Selepas produk diterima, pengguna mempunyai 30 hari untuk memulakan permintaan pemulangan melalui laman Pesanan dalam aplikasi berkenaan.
Antara produk tempatan dan antarabangsa yang ditampilkan dalam TikTok Shop Mall ialah CLEF Beauty, Dododots, Christy Ng, BONIA, ELGINI, Lancôme, Pensonic, PUMA, Johnson’s Baby dan OGAWA.
Jenama yang berminat menyertai TikTok Shop Mall boleh melayari TikTok Shop Academy untuk maklumat lanjut.
TikTok Shop ialah platform e-dagang sehenti yang membolehkan jenama berkembang dan menjual secara langsung dalam TikTok melalui video pendek, acara siaran langsung membeli-belah dan pasaran melalui Shop Tab.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial