Daripada Arul Rajoo Durar Raj
ROM, 2 Julai (Bernama) -- Malaysia menghargai usaha Itali dalam mencari penyelesaian konflik kemanusiaan di Gaza, situasi di Ukraine dan perkembangan di Asia Barat khususnya melibatkan Iran dan Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global sewaktu pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali Antonio Tajani, di sini pada Selasa.
“Pertemuan ini mencerminkan komitmen bersama untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Itali yang telah lama terjalin, berlandaskan prinsip saling menghormati antara satu sama lain,” kata beliau.
Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk hubungan Malaysia serta ASEAN dengan Kesatuan Eropah (EU).
Mengenai konflik di Gaza, Anwar berkata Malaysia yang lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin di persada antarabangsa, gembira kerana pemimpin-pemimpin Itali memahami situasi di Gaza.
“Malaysia menghargai hubungan erat dengan Itali sebagai rakan penting dalam usaha memperkukuh kerjasama rentas benua demi keamanan, kemakmuran dan kemajuan bersama.
“Kita mahu bekerjasama bukan sahaja dalam bidang ekonomi, tetapi juga dalam mencari penyelesaian konflik seperti Gaza, Ukraine dan Asia Barat,” kata Perdana Menteri selepas pertemuan itu.
Bulan lepas, Presiden Itali Sergio Mattarella menyifatkan krisis kemanusiaan dan politik di Gaza sebagai “tidak dapat diterima” dan menggesa tindakan segera oleh masyarakat antarabangsa serta penglibatan negara-negara Arab untuk menangani situasi yang semakin meruncing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial